Nuffnang Ads

Monday, 5 May 2014

Konsep 1Malaysia Tutup Istilah Minoriti dan Majoriti, Usah Manipulasi Isu

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan petikan ucapan Presiden Barack Obama berkaitan isu layanan ke atas golongan minoriti sebagai bahan manipulasi sememangnya menjurus kepada agenda politik tanpa mengambil kira kepentingan umum.
Penganalisis politik tempatan, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad menganggap bahawa tindakan Anwar yang memetik kenyataan terbabit lebih kepada niat untuk dimanipulasikan agar segelintir masyarakat yang tidak matang dalam politik dapat dipengaruhi dengan memburuk-burukkan dasar dan prinsip kerajaan selama ini.
“Sebagai pemimpin negara maju, Obama tentunya bercakap berdasarkan kepada pemahamannya berkaitan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan orang Melayu mempunyai hak keistimewaan namun malangnya, sebagai pemimpin tempatan, Anwar lebih melihat kepada agenda politik walhal beliau sendiri memahami dasar dan pendirian negara kita,” katanya.
anwar-pembangkang-manipulasi-ayat-ucapan-obama-diskriminasi-minoriti-agenda-niat-jahat
Jelas beliau, jika dilihat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan sememangnya termaktub fasal-fasal berkaitan agama Islam, bangsa Melayu dan kaum bumiputera tetapi dalam masa yang sama kaum lain tidak pernah diketepikan.
“Kedudukan yang diputuskan dalam Perlembagaan Persekutuan ini adalah persetujuan bersama yang terbentuk sebelum merdeka dan digunapakai sehingga ke hari ini dengan keseluruhan rakyat memahami tanggungjawab yang termaktub di dalamnya malah berdasarkan Perlembagaan inilah negara kita dapat mencapai kemajuan sebagaimana hari ini.”
Sebelum ini, Obama menyifatkan Malaysia tidak berlaku adil dalam konteks agama kepada semua kaum.
“Dalam konteks Malaysia hari ini sebenarnya tidak wujud istilah golongan minoriti atau majoriti kerana hak dan kebebasan diberikan sama rata iaitu semua warganegara mempunyai hak untuk memiliki harta, mempunyai hak untuk mendapat pendidikan, peluang memasuki universiti tanpa berdasarkan merit lagi, peluang pekerjaan dan kebebasan dalam mengamalkan agama atau budaya masing-masing.
“Barangkali ada orang luar yang melihat wujudnya minoriti dan majoriti ini kerana di barat penindasan sedemikian adalah perkara biasa lantas kerana itu ada macam-macam hak asasi atau kebebasan yang wujud sedangkan di negara ini, kelangsungan dalam pentadbiran kerajaan memberikan peluang sama rata kepada semua pihak.”
Jelasnya yang juga pensyarah di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, pemahaman orang luar tidak sama dengan apa yang telah dilalui oleh rakyat Malaysia namun dalam masa yang sama ada segelintir pihak yang sengaja memanipulasikannya dengan cubaan untuk ‘mencuit’ golongan yang tidak matang dalam politik.
“Ada pihak yang sengaja mahu menjadikannya sebagai bahan bagi mencabar dasar dan prinsip negara ini dengan menggangu gugat kesejahteraan iaitu membabitkan agama misalnya yang sememangnya amat sensitif jika diperbesar-besarkan dan boleh menjadikan negara ini huru-hara.
“Konteks yang dibawa oleh pihak terbabit jika diteliti seakan berniat negatif apabila Islam yang tentunya Melayu melupakan bangsa lain dalam soal pentadbiran dan keadilan sedangkan semua perkara tersebut tidak wujud,” katanya.
Anwar mendakwa, pandangan Obama berhubung isu tersebut terbentuk melalui pertemuan dengan kumpulan masyarakat sivil semasa kunjungan singkat presiden Amerika Syarikat itu ke Malaysia, hujung minggu lalu.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa golongan miskin di Malaysia yang dipinggirkan itu sebahagian besarnya terdiri daripada golongan Melayu bumiputera dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.
“Kenyataan ini dipergunakan bagi menggambarkan kepada rakyat kononnya kerajaan kita mempunyai pentadbiran yang tidak adil sedangkan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri, kelonggaran berlaku iaitu semua bangsa mempunyai kebebasan namun cara bagaimana nak merebut peluang itu yang wajar diambil kira,” jelasnya lagi.
Dalam hal ini, beliau meminta mana-mana pihak membuat penilaian terlebih dahulu sebelum mengambil bulat-bulat kenyataan yang diberikan oleh mana-mana individu khususnya orang luar.
“Jika benar berlaku diskriminasi dan ketidakadilan mengapa pula kedudukan ekonomi dimonopoli oleh bangsa tertentu namun dalam masa yang sama bangsa lain tidak terbatas untuk bersaing.”
ambiga-ngo-pembangkang-manipulasi-ayat-ucapan-obama-diskriminasi-minoriti-agenda-niat-jahat

No comments:

Post a Comment