Nuffnang Ads

Monday 5 May 2014

UMNO–Pas Perlu Cari Titik Persamaan Demi Islam, Melayu

Umno dan PAS perlu memiliki ‘kekuatan’ untuk mencari ‘titik persamaan’ bagi mencapai visi yang lebih besar dalam konteks memperkasa agenda bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Datuk Fuad Hassan berkata pada dasarnya, kedua-dua parti mempunyai banyak persamaan walaupun berbeza ideologi politik iaitu perjuangan berteraskan agama dan bangsa Melayu.
Datuk-Fuad-Hassan
“Umno dan PAS sebenarnya banyak persamaan jika dibandingkan pakatan antara PAS dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP dalam agenda agama dan bangsa.
“Kedua-dua parti seharusnya memikirkan secara mendalam tentang visi bersama ini kerana pada akhirnya, perpaduan dan kesatuan yang penting bagi mencapai cita-cita majoriti penduduk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas membentang kertas kerja bertajuk ‘Pendidikan Mentransformasikan Politik Melayu’ bersempena Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa (Sepma) ketiga di sini, Sabtu.
Pada masa sama, beliau berkata pandangan serta pendapat masyarakat minoriti  perlu dihormati serta diambil kira oleh kedua-dua parti dalam memperjuang nasib bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.
Fuad berkata usaha kerajaan melindungi hak dan kepentingan bangsa Melayu selama ini adalah kerana kaum itu belum memadai untuk bersaing secara terbuka dengan masyarakat lain di Malaysia.
“Seperti kata tokoh pemikir Melayu Allahyarham Za’ba… selama 500 tahun orang Melayu dijajah. Maka menurut Za’ba, orang Melayu memerlukan sekurang-kurangnya 250 tahun untuk dibantu oleh kerajaan agar kedudukan mereka menjadi  kukuh,” katanya sambil menambah antara aspek yang perlu diberi penekanan bagi memajukan bangsa Melayu ialah menerusi bidang pendidikan.
Beliau berkata falsafah pendidikan di Malaysia ‘cukup cantik tetapi ada beberapa elemen yang perlu disemak, misalnya kurikulum dan sukatan pelajaran mengenai agama, sejarah dan budaya (bahasa) perlu diterap tanpa mengira apa jua bidang pengajian.
Katanya, dalam keadaan sekarang yang menyaksikan perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu semakin meruncing, Umno dan PAS perlu melihat jauh ke hadapan berkaitan’survival’ bangsa itu.
Objektif seminar tiga hari yang berakhir Isnin ini, antaranya ialah menghimpun masyarakat Melayu serumpun bagi membincangkan isu ‘survival’ Melayu dan mentranformasi tindakan bangsa berkenaan ke arah membangunkan misi sejagat.
Seminar anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertema ‘Bersatu Mendepani Survival Melayu’ itu akan dirasmi oleh Menteri Badan Usaha Milik Negara Indonesia Dahlan Iskan pada Ahad.

No comments:

Post a Comment