Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi tidak menolak kemungkinan bahawa calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, calon berbangsa Melayu yang menjadi pertaruhan parti tersebut di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, bakal menerima nasib yang sama sepertimana ahli-ahli DAP berbangsa Melayu yang akan terpinggir dan dipinggirkan oleh parti tersebut satu hari nanti.
Jelas beliau, ini berdasarkan sejarah DAP yang tidak pernah ‘merestui’ ahli-ahli berbangsa Melayu di dalam parti tersebut untuk memegang jawatan tertinggi di dalam parti, demi kelansungan survival politik kroni-kroni daripada dua dinasti keluarga dalam parti tersebut untuk terus memegang tampuk kekuasaan parti tersebut.
“Saya yakin, dalam jangka masa yang panjang, Dyana Sofya bakal menerima nasib yang sama sepertimana Tunku Aziz dan juga beberapa ahli DAP berbangsa Melayu di dalam DAP yang akan dipinggirkan suara mereka, di mana akhirnya akan mengambil keputusan untuk keluar dari parti tersebut. Bak kata pepatah, habis madu sepah dibuang.
“Berdasarkan sejarah parti politik tersebut, tidak ada di kalangan kepimpinan Melayu yang terpilih untuk memegang jawatan tertinggi di dalam parti. Jika adapun, mereka tidak mampu untuk bertahan lama seperti mana yang berlaku terhadapTunku Aziz dan beberapa pemimpin Melayu yang lainnya.
“Ini adalah kerana agenda dan ideologi DAP yang menentang hak-hak istimewa orang Melayu seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan, serta penolakan mereka terhadap sebarang agenda Islam di negara ini tidak akan berubah, dan ianya sedikit sebanyak pasti akan memberikan tekanan yang akhirnya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan ahli serta kepimpinan Melayu di dalam parti tersebut,” jelasnya kepada di sini hari ini.
Beliau turut meluahkan rasa hairan dan pelik dengan segelintir sikap kepimpinan dan penyokong di kalangan bangsa Melayu yang terus memberikan sokongan politik kepada parti tersebut, biarpun jelas DAP merupakan sebuah parti yang rasis dan cauvinis, khususnya terhadap hak-hak istimewa bangsa Melayu.
“Saya kira segelintir orang Melayu masih tidak sedar dan tidak serik-serik, serta tidak mahu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terhadap nasib pemimpin Melayu di dalam DAP.
“Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Aziz secara terang-terang memberitahu bahawa parti tersebut sememangnya tidak boleh dipercayai dan hanya lebih mengutamakan kroni dari dua dinasti keluarga itu saja, serta agenda perjuangan yang lebih mengutamakan satu kaum saja. Tetapi masih ada lagi orang Melayu kita yang tidak sedar-sedar tentang perkara itu dan terus memberikan sokongan terhadap parti tersebut,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment