Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menegaskan bahawa program turun padang untuk mendengar keluhan dan menyelesaikan permasalahan rakyat, yang menjadi amalan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, bukan bermusim.
Sebaliknya, beliau berkata program turun padang itu adalah amalan sepanjang masa, tidak kira pada musim pilihan raya atau tidak untuk kerajaan BN menunjukkan penghargaan terhadap rakyat yang menyokong dan memberi mandat kepada BN, terus mentadbir Sabah.
“Kita mesti sedar, kita ini berkuasa atau menjadi wakil rakyat adalah atas sokongan rakyat, atas pilihan rakyat. Oleh itu, kita jangan lupa, jangan sombong, jangan angkuh kepada rakyat. Yang penting, sebagai pemimpin, kita mesti mendekati rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bengkoka dan Kaamatan di Dataran Bengkoka di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Pertahanan yang juga anggota Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri dan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Bolkiah Ismail.
Musa berkata kerajaan BN merupakan kerajaan yang prihatin dengan akan terus berusaha memenuhi setiap keperluan rakyat meskipun kadang-kala terdapat sesetengah projek yang mungkin memerlukan masa dan kos yang tinggi.
Terdahulu dalam ucapannya, Musa memuji rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, kepercayaan serta keturunan kerana memilih untuk hidup aman dalam kepelbagaian meskipun terdapat cubaan untuk memecahbelahkan keharmonian hidup yang sekian lama dikecapi.
Katanya kemampuan rakyat Sabah untuk hidup aman dalam kepelbagaian dan mendapat pujian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh rakyat 1Malaysia, didasari atas kesediaan rakyat untuk menghormati perbezaan kaum dan agama lain.
Justeru, Musa mengingatkan rakyat supaya tidak mudah dipesongkan pihak tertentu yang ingin memecahbelahkan mereka kerana perbalahan dan pergaduhan tidak akan menguntungkan sesiapa.
“Kalau kita asyik berpecah belah dan bergaduh, sukar untuk kita melaksanakan program pembangunan untuk faedah rakyat. Sebaliknya kalau negeri kita aman, mudah untuk kita membantu rakyat. Di Malaysia ini, kita mesti menghormati sesame kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment