Nuffnang Ads

Friday, 16 May 2014

Wanita BN Kekalkan Strategi Tradisi ‘Rumah Ke Rumah’

Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk kembali ‘menakluki’ Parlimen Teluk Intan sekaligus menepis dakwaan kononnya kawasan itu kubu pembangkang, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata ini berdasarkan analisis pergerakan itu terhadap keputusan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, Sungai Limau dan Kajang yang menunjukkan berlaku peningkatan sokongan para pengundi kepada BN termasuk kawasan peti undi yang diandaikan milik pembangkang.
“Analisis yang merekodkan trend positif itu terus menjadi semangat dan kekuatan kepada Pergerakan Wanita BN untuk bekerja keras bagi merealisasikan kemenangan parti untuk kerusi Parlimen Teluk Intan,” katanya sebelum bermesyuarat bersama-sama jentera Wanita BN Parlimen Teluk Intan di sini hari ini.
shahrizat-noraini-lawat-changkat-jong-prk-teluk-intan-wanita-umno-bn-perak
Bagi menghadapi cabaran di Teluk Intan, beliau berkata Wanita BN mengekalkan strategi tradisi yang menjadi kekuatan mereka untuk meraih sokongan pengundi iaitu melalui pendekatan turun ke setiap rumah serta sentuhan dari hati ke hati.
Pendekatan itu digerakkan jentera Wanita BN bukan hanya untuk mendapat sokongan golongan wanita malah ia juga berkesan untuk semua lapisan pengundi, katanya.
“Sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, Wanita BN tidak pernah mengamalkan sikap sambil lewa. Kami tetap terus pergi rumah ke rumah dan bercerita mengapa pemilih patut mengundi BN…sentuhan Wanita ini adalah nadi BN,” katanya.
Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata BN berharap pengundi memberi peluang kepada parti itu di Teluk Intan selepas pembangkang yang cuba membawa perubahan gagal menunaikan janji mereka.
Beliau berkata kemenangan BN di Teluk Intan merupakan kesinambungan kemantapan kerajaan negeri dan pusat yang dipimpin oleh parti itu.
“Pengundi di Teluk Intan memerlukan kepimpinan BN kerana banyak janji pembangkang yang tidak ditunaikan. Ini peluang kepada masyarakat Teluk Intan untuk menentukan janji pembangunan pembangkang itu diambil alih oleh BN,” katanya.
Pilihan raya kecil Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Pada pilihan raya umum Ke-13, Seah menewaskan calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon Bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei disusuli dengan hari pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.

No comments:

Post a Comment