Nuffnang Ads

Monday, 5 May 2014

Malaysia, China, Australia Adakan Mesyuarat Tiga Pihak Berkaitan Operasi Pencarian MH370



Malaysia, China dan Australia akan mengadakan mesyuarat tiga pihak di Canberra, Australia pada Isnin ini untuk membincangkan operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mesyuarat itu akan membincangkan pendekatan dalam pengerahan aset, nasihat teknikal dan mengadakan hubungan dengan keluarga penumpang serta kru MH370.
Hishammuddin, yang akan berlepas ke Australia pada Ahad ini, berkata beliau yakin operasi pencarian MH370 “berada di landasan yang betul” namun mengakui cabaran yang bakal dihadapi amat besar.
“…dengan lebih banyak sahabat dan pakar turut serta, untuk memastikan kita terus fokus dalam apa yang kita lakukan, saya percaya lambat laun kita akan menjumpai MH370,” katanya pada sidang akhbar berhubung perkembangan operasi pencarian MH370 di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston, presiden Biro Siasatan Kemalangan Udara Perancis (sebelum ini mengetuai pasukan siasatan Air France 447) Jean-Paul Troadec, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.
Pada sidang akhbar sama, Houston berkata mesyuarat tiga pihak itu sangat penting memandangkan langkah seterusnya akan menjadi formal bagi memastikan pencarian diteruskan dilakukan dengan kadar segera dan tidak terhenti di mana-mana peringkat.
Berhubung pertemuan awal dengan Hishammuddin di sini hari ini sebelum berlangsungnya mesyuarat tiga pihak di Canberra, Houston berkata: “Kami membincangkan beberapa cabaran membabitkan pencarian di laut dalam.”
Beliau turut mengulangi bahawa kawasan tumpuan pencarian baharu di dalam air akan mengambil masa kira-kira lapan bulan dan berkemungkinan berlarutan sehingga 12 bulan bergantung kepada keadaan cuaca di kawasan pencarian serta isu lain.
“Kami sepenuhnya komited, sebagai tiga buah negara, untuk mencari MH370 dan saya yakin dengan adanya pencarian yang mengesankan, kami akhirnya akan menjumpai pesawat itu,” katanya.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada paparan radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di ruang udara Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Operasi pencarian melibatkan pelbagai negara dijalankan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan, dan kemudiannya ke selatan Lautan Hindi, selepas dipercayai laluan pesawat itu dilencongkan.

No comments:

Post a Comment