Ahli-ahli UMNO dari semua peringkat bertanggungjawab untuk memastikan parti terus kukuh dan kekal relevan dengan turut memainkan peranan dalam memahami matlamat perjuangan dan menolak tohmahan atau kata-kata fitnah yang dilakukan oleh pembangkang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Beliau yang juga Ketua Menteri Negeri Sabah memberi tahu bahawa ulang tahun UMNO ke-68 yang bakal dirai pada 11 Mei ini sewajarnya dibuat di semua peringkat termasuklah peringkat negeri, bahagian dan cawangan termasuklah pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
“Tentunya setiap program yang dilaksanakan bertujuan untuk merapatkan barisan iaitu untuk memastikan UMNO terus kuat, mantap dan relevan serta dapat menyatupadukan semua ahli-ahli UMNO dari semua peringkat.
“Apa yang penting kita mesti memberi penjelasan dan penerangan kepada ahli-ahli kita dengan memperkukuh perpaduan dan memastikan UMNO terus mantap serta mendapat tempat di hati rakyat. Ini yang perlu terus dilakukan,” katanya.
Jelas beliau, sebagai sebuah negeri yang mempunyai bi8langan ahli paling ramai, ahli-ahli UMNO di Sabah turut memainkan peranan memberi penerangan dan penjelasan berkaitan isu-isu semasa dan dasar-dasar kerajaan khususnya mematahkan tohmahan pembangkang.
“Ahli-ahli UMNO di semua peringkat di Sabah, dari cawangan dan bahagian sentiasa diingatkan agar terus bekerja keras, terus berjumpa atau berdamping dengan ahli-ahli UMNO seterusnya masyarakat agar rakyat tahu bahawa kita adalah satu parti yang sentiasa bertanggungjawab apabila dipilih, misalnya sebagai pemimpin bahagian atau sebagai wakil rakyat.
“Kita punya cara kalau boleh sekerap yang boleh akan turun kawasan, berjumpa dengan rakyat dan mengetahui apa-apa sahaja masalah-masalah yang dihadapi. Dengan cara ini tentunya kita akan mempunyai hubungan baik antara rakyat dan wakil rakyat maka saya percaya UMNO akhirnya akan terus mempunyai sokongan yang kuat daripada masyarakat dan ahli-ahlinya.”
Ujarnya, jika mana-mana pemimpin dilihat sebagai anggota UMNO yang jujur, ikhlas dan dedikasi maka tiada sebab untuk rakyat menolak malah mereka akan terus menyokong sebaliknya jika tidak ambil endah, tidak turun padang atau berjumpa dengan rakyat maka tentunya sokongan akan menurun.
“Jika kita laksanakan tugas dengan betul dan ikhlas maka rakyat tentunya akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.”
Dalam berdepan dengan pembangkang pula, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga menitikberatkan usaha memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya berkaitan isu-isu yang sengaja dimanipulasikan oleh pembangkang.
Dalam berdepan dengan pembangkang pula, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga menitikberatkan usaha memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya berkaitan isu-isu yang sengaja dimanipulasikan oleh pembangkang.
“Dengan adanya penerangan dan penjelasan berkaitan apa yang berlaku maka tentunya rakyat tidak akan percaya dengan kata-kata pembangkang kerana terbukti bahawa pembangkang tidak bercakap benar.
“Kita perlu terus memberi penerangan dan penjelasan yang berterusan dan menangani apa sahaja yang datang,” tegasnya lagi.
No comments:
Post a Comment