Tindakan Pas yang sanggup bersekongkol dalam usaha menghalang pembinaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Taman Pegoh Aman dilihat bermotifkan politik semata-mata dan memperlihatkan wajah sebenar parti yang kononnya melaung-laungkan sebuah parti Islam.
Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Pemuda UMNO, Ustaz Syahrin Jamaluddin berkata sebagai sebuah parti yang melabelkan diri mereka sebagai sebuah parti Islam, tindakan berkenaan amatlah mengecewakan dan cukup memalukan.
Namun bagi beliau secara peribadi apa yang berlaku itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan tetapi sebaliknya menunjukkan belang dan wajah sebenar mereka yang selama ini melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan khususnya dalam isu Sekolah Agama Rakyat.
“Saya harap perkara ini dapat membuka mata rakyat terhadap sebuah parti yang siang dan malamnya tidak pernah lekang ayat-ayat suci kalamullah baik dalam ceramah dan sebagainya.
“Sepatutnya dalam soal-soal sedemikian, Pas perlu meletakkan kepentingan rakyat yang utama dan bukannya kepentingan politik kerana akhirnya yang akan menerima tempias adalah rakyat. Jadi bagi saya ini adalah satu petunjuk bagaimana mereka yang selama ini melaung-laungkan Islam rupa-rupanya sekadar ungkapan dan bukannya disusuli dengan satu bentuk tindakan yang konkrit khususnya untuk agama dan umat Islam sejagat,” katanya di sini.
Media sebelum ini melaporkan tindakan Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup bersekongkol dengan PKR membantah pembinaan SAR Taman Pegoh Aman di atas tapak sebuah padang awam di sini atas alasan mahu mempertahankan padang itu untuk kegunaan penduduk.
Pas dan PKR didakwa bukan sahaja membuat demonstrasi mendesak bangunan yang dalam pembinaan itu dirobohkan pada 29 Mei lalu malah turut mengganggu majlis dialog yang diadakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman bagi memberikan penjelasan kepada penduduk Sabtu lalu.
Ustaz Syahrin seterusnya menambah bukankah pembinaan SAR itu tujuannya amat baik dan cukup mulia yang mana ianya adalah untuk memberi pendidikan kepada anak-anak penduduk kawasan berkenaan.
“Ini sesuatu yang cukup malang malang……Dalam soal sebegini Pas sepatutnya tampil bersama-sama mempertahankan pembinaan SAR terbabit dengan mengenepikan seketika perbezaan ideologi politik dan bukannya mempolitikkan semua benda.
“Apa pun kepada rakyat, inilah bezanya antara BN dan pembangkang khususnya Pas yang mahu mempolitikan semua benda dan bagi kita pula amat jelas BN berpolitik untuk rakyat,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Yang rugi hanya orang Melayu dan Islam...
No comments:
Post a Comment