Nuffnang Ads

Monday, 30 July 2012

SELESAI DULU ISU ROYALTI MINYAK SEBELUM PRU13 - KU LI


Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Katanya, isu itu perlu diselesaikan sebelum PRU13 untuk menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN.
Pas mengekalkan kerajaan negeri yang dirampas daripada BN pada 1990. Beberapa kajian terbaru, termasuk yang diumumkan minggu lalu menunjukkan negeri itu akan kekal di tangan Pas pada PRU13.
Dipetik laporan Astro Awani, Tengku Razaleigh mengulas perkembangan selepas laporan beberapa bulan lalu bahawa Umno Kelantan mahu mendapatkan pandangannya untuk persiapan menghadapi PRU13.
Razaleigh, yang pernah mengeluarkan pandangan yang sama tahun lalu, mengakui bahawa beliau ada didatangi oleh beberapa pemimpin Umno Kelantan yang meminta pandangan bagaimana untuk menguatkan semula Umno di Kelantan.
"Saya kata apa yang dilakukan oleh mereka sudah cukup kecuali hendak digerakkan di peringkat 'grass root' supaya mereka tak tunggu pemimpin datang baru nak bergerak. Tengok parti-parti lawan bergerak sepanjang masa.

"Jadinya, saya cadang kalau boleh diatasi atau diselesaikan dua perkara yang dihadapi oleh rakyat Kelantan, saya rasa masalah boleh selesai...

"Satunya mengenai tuntutan rakyat Kelantan terhadap royalti minyak yang sememangnya sudah pun ditentukan oleh Akta Kemajuan Petroleum yang dibuat pada tahun 1974 atas kehendak Tun Razak yang juga Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu," kata beliau lagi.
Ahli Parlimen Gua Musang ini menambah, satu lagi isu yang perlu ditangani ialah infrastruktur bagi kemudahan rakyat terutamanya jalan raya.

Tengku Razaleigh pada masa yang sama menepis kritikan kononnya beliau menyokong Kerajaan Pas yang menuntut royalti petroleum.

"Saya cakap bukannya kerana saya memihak kepada pembangkang, tidak. Saya cuma hendak jelaskan apa yang terkandung dalam Akta Kemajuan Petroleum yang saya tolong gubalkan atas arahan arwah Tun Razak.

"Kalau itu boleh diterima oleh Umno pada ketika itu, masa Tun Razak jadi Presiden, saya jadi Naib Presiden, mengapa Umno sekarang ini tidak boleh pakai, tidak munasabah," katanya yang pernah menjadi Menteri Kewangan.
Pada Ogos 2010, Kerajaan Pas Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang didakwa dikeluarkan dari perairan negeri itu.
Dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan tuntutan yang dibuat, sebaliknya terserah kepada mahkamah menentukannya.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin menyifatkan penganjur Konvoi Royalti, yang menjelajah negeri ini, sepatutnya menunggu mahkamah membuat keputusan mengenai kes tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan terhadap Petronas.
"Jika mereka mengambil langkah sebelum mahkamah membuat keputusan, ia dibimbangi tidak selari dengan keperluan undang-undang," katanya.
Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) menganjurkan Konvoi Royalti, yang diketuai Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ke Gua Musang selama dua hari bermula kelmarin.
Awang Adek, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wan Ehsan Kelantan berkata, pemberian wang itu dilaksanakan mengikut keperluan undang-undang dan dilakukan dengan telus membabitkan semua golongan seperti pelajar, mangsa kebakaran rumah dan bencana alam, tanpa mengira fahaman politik.
Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM24 juta setahun bagi tujuan berkenaan, kata beliau.
Kerajaan Pas Kelantan menuntut Kerajaan Pusat membayar royalti minyak RM1 bilion bagi pengeluaran petroelum dan gas di perairan negeri itu antara 2004 hingga 2009.
Kerajaan Pusat menolak tuntutan itu.
Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas semasa perjanjian royalti petroleum itu ditandatangani dengan Kerajaan Negeri Kelantan lebih tiga dekad lalu.
Mai Pikiaq Pi: Kerajaan perlu menyelesaikan isu royalti ini jika ingin merampas Kelantan kembali...

No comments:

Post a Comment