Nuffnang Ads

Monday 6 August 2012

Hutang Berjuta Tapi Unisel Masih Lagi Berbelanja Beli IPad RM500,000!!


Cukup menghairankan apabila Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr. Anuar Ahmad bercakap kepada media bahawa universiti tersebut lebih baik di bawah pentadbiran PKR Selangor dan mendapat keuntungan sehingga boleh membayar bonus kepada kakitangan.
Namun apabila lebih 3,000 pelajar Unisel tidak dapat mendaftar ke asrama masing-masing seperti dijadualkan minggu lalu, menunjukkan banyak kelemahan daripada aspek pentadbiran dan kedudukan kewangan Unisel yang semakin parah dan kritikal, sehinggakan tidak mampu membayar kepada pengendali asrama pelajar yang difahamkan sudah meningkat kepada RM15 juta.
Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, walaupun pelajar sudah membuat pembayaran yuran melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tetapi Unisel gagal untuk melangsaikan tunggakan bayaran.
“Siapa yang harus dipersalahkan? Difahamkan Unisel juga mengeluarkan kos yang tidak sepatutnya untuk membeli IPad kepada ketua-ketua jabatan dengan nilai mencecah RM500,000.
“Inilah yang berlaku jika pengurusan universiti lebih cenderung berpolitik sehingga mengabaikan aspek pentadbiran universiti, menyebabkan prestasi akademik semakin merudum dan kebajikan pelajar tidak terbela," katanya.
Tegas beliau lagi lebih mengecewakan apabila universiti yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ini hanya memekakkan mata dan membutakan telinga terhadap kelemahan pentadbiran dan kewangan di universiti itu.
“Selama ini Menteri Besar mendabik dada mencanang kehebatan mereka mengurus kewangan dalam pentadbiran Negeri Selangor dan UNISEL tapi jika inilah cara Menteri Besar dan Naib Canselor mentadbir, tidak mustahil Unisel akan menjadi gagah putih dan matlamat untuk melahirkan modal insan cemerlang tidak akan kesampaian,” ujarnya.
Justeru, GPRS tambah beliau mendesak Menteri Besar mengambil tindakan tegas terhadap Profesor Dr. Anuar yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya sekaligus memecat Ahli Lembaga Pengarah Unisel yang tidak peka dengan kedudukan kewangan dan gagal merancang dengan baik perjalanan Unisel serta memaklumkannya kepada kerajaan negeri.
“Mereka sekadar makan elaun buta sahaja, satu kerugian kepada rakyat Selangor, tetapi sekarang seperti sudah jadi satu amalan kerajaan negeri, apa saja yang ditegur oleh menteri atau Kerajaan Pusat akan disanggah dan Menteri Besar dan kroni-kroninya gunakan taktik lama supaya setiap isu dapat dipolitikkan kemudian.
“Setiap kelemahan Kerajaan PKR, akhirnya BN juga yang akan disalahkan," katanya.
Jelas beliau sekiranya Unisel ada masalah kewangan yang serius kerajaan negeri mesti cari jalan awal dan perancangan jangka panjang untuk bantu menyelamatkan Unisel.
“Lebih daripada itu, yuran hostel juga patut disubsidi oleh Kerajaan Negeri Selangor daripada menggunakan wang rakyat, apabila dana khas peruntukan di bawah Geran Selangorku berjumlah RM5 juta untuk membiayai kos guaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang dihadapkan ke mahkamah, lebih baik digunakan untuk memberi bantuan kepada penyelesaian asrama pelajar-pelajar berkenaan.
“Ini menunjukkan Menteri Besar hanya mengutamakan kepentingan politik dan mengabaikan pelajar di Unisel,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.
Tambahnya, rakyat sudah semakin bosan dengan kerenah pentadbiran dan pengurusan Unisel yang dipengaruhi politik kerajaan negeri.
“Jadi cakap-cakap tentang Unisel bakal bankrap bukan lagi retorik. Malah sehingga kini Menteri Besar masih gagal mendedahkan laporan audit yang kononnya akan siap pada bulan Ogos 2012. Pastikan mengapa pembayaran tidak dapat dilakukan kepada pengurusan asrama selama hampir 17 bulan turut dimasukkan dalam laporan audit itu nanti.
“Sampai bila lagi Menteri Besar mahu bertindak menyelesaikan kudis-kudis yang semakin membiak di Unisel. Ini adalah antara kelemahan kerajaan negeri dalam pentadbiran sehingga menyebabkan sebuah universiti yang gah ditubuhkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, menjadi tiada hala tuju.
“Rakyat perlu fikirkan adakah kerajaan negeri yang sedia maklum lemah dan tidak berintergriti ini perlu diberi mandat lagi pada pilihan raya umum akan datang? GPRS juga mencabar MB utk mengumum dan membentangkan kedudukan kewangan UNISEL segera,” tambahnya lagi. 
Mai Pikiaq Pi: Jangan kerana kepentingan politik, pelajar-pelajar diabaikan... Amat malang sekali!

No comments:

Post a Comment