Nuffnang Ads

Friday 10 August 2012

Pandelela raih gangsa di Olimpik London

Ratu terjun negara Pandelela Rinong menghadiahkan pingat kedua Sukan Olimpik 2012 kepada kontinjen Malaysia selepas meraih gangsa dalam acara 10m platform wanita akhir di Pusat Akuatik di sini, lewat malam tadi.

Gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata, di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan gelarannya dengan 422.30 mata dan pingat perak menjadi milik penerjun Australia Brittany Broben dengan 366.50 mata. 
Pandelela memulakan terjunan pertama dengan hambar ekoran kesilapan dengan memungut 58.50 mata daripada acara Forward 3 1/12 somersault. 


Beliau kemudian bangkit dengan mengumpul 78.30 daripada acara Back 2 1/2 somersault, 64.00 (Armstand BAck double somersault 1 1/2 twist, 81.60 (Inward 3 1/2 somersault) dan 76.80 (Back 1/2 Somersault 1 1/2 twist).


Pandelela berkata selepas melakukan kesilapan pada terjunan awal, beliau dinasihatkan jurulatihnya dari China, Yang Zhuliang supaya melupakan kesilapan berkenaan dan memberi tumpuan kepada empat terjunan seterusnya.

"Kejayaan meraih pingat gangsa ini saya tujukan kepada seluruh skuad terjun negara. Saya sendiri tidak menyangka mampu meraih pingat di temasya ini," katanya.

Penerjun itu akan mendapat ganjaran wang tunai sebanyak RM150,000 di bawah Skim Hadiah Ganjaran Sukan (Shakam) Kementerian Belia dan Sukan dan mendapat pencen seumur hidup sebanyak RM2,000 sebulan. 
Ia adalah pingat kedua negara buat Malaysia selepas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyumbang pingat perak dalam acara perseorangan lelaki, Ahad lalu.

Sejak Malaysia pertama kali menyertai Sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956, hanya beregu lelaki badminton Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock (Atlanta,1996) dan Chong Wei (Beijing 2008, London 2012) berjaya memenangi pingat perak dalam acara masing-masing. 

Pasangan adik beradik Razif dan Jalani Sidek memenangi pingat Olimpik pertama untuk Malaysia apabila mereka meraih pingat gangsa pada Olimpik Barcelona 1992, manakala adik mereka Rashid pula menang pingat gangsa dari Atlanta.

Kejayaan Pandelela ini juga, sehingga kini, menyamai pencapaian kontinjen negara dalam edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat dengan membawa pulang sebutir pingat perak dan satu gangsa.


Mai Pikiaq Pi: Tahniah Pandelela.. Anda membanggakan negara!!!

No comments:

Post a Comment