Penubuhan jawatankuasa khas bayaran tunai kepada negeri-negeri di pantai timur bukan satu usaha untuk berdolak-dalik atau helah politik sebaliknya untuk menyelesaikan semua kontroversi berkaitan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, jawatankuasa itu akan mengkaji segala isu yang dibangkitkan bukan sahaja yang ditimbulkan oleh Kelantan tetapi melibatkan juga Terengganu dan Pahang.
"Kelantan menyatakan ada hasil petroleum yang dibayar kepada Terengganu yang sebenarnya patut dibayar kepada Negeri Kelantan. Ada sempadan darat antara Kelantan dan Terengganu, ada batu sempadan, tetapi tidak ada sempadan laut, maka jawatankuasa akan tentukan agihan antara Kelantan dan Terengganu berdasarkan tafsiran sempadan laut antara negeri-negeri," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan segelintir pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan yang menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu tidak lebih daripada helah politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Dalam masa yang sama, bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan pihak tertentu yang masih suka berdolak dalih dalam perkara yang begitu jelas seperti yang ditandatangani dan dipersetujui.
Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri berkata, surat cara yang ditandatangani oleh setiap negeri hanya menentukan kaedah dan pengiraan pembayaran bagi hasil dari telaga petroleum yang terdapat di daratan dan di perairan negeri sahaja.
"Kedudukan perairan negeri tidak dijelaskan dalam surat cara tersebut.
"Oleh kerana masih ada banyak kekeliruan, Jawatankuasa Khas ini adalah forum yang terbaik supaya isu ini dapat diselesaikan dengan telus, adil dan saksama. Jawatankuasa akan tentukan berapa yang perlu dibayar kepada Kelantan," katanya.
Menurutnya, jawatankuasa yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara dan dianggotai oleh pakar-pakar undang-undang dari dalam dan luar negara mempunyai kewibawaan neutral dan tidak berpihak kepada sesiapa sama ada Kerajaan Pusat atau negeri.
"Jawatankuasa Khas juga turut dianggotai wakil setiap negeri Pantai Timur yang diperkenankan oleh Sultan masing-masing.
"Oleh kerana Kelantan juga ada wakil, tidak benar penubuhan Jawatankuasa ini helah politik," katanya.
Mai Pikiaq Pi: Harap isu royalti ini dapat diatasi segera dengan penubuhan Jawatankuasa Khas ini...
No comments:
Post a Comment