Walaupun sebelum ini, Naib Canselor Unisel, Profesor Dr. Anuar Ahmad berkata, pelajar-pelajar Universiti Selangor (Unisel) akan memulakan pengajian mereka pada 27 Ogos ini, namun sehingga ke hari ini masih belum ada jaminan berkenaan penginapan mereka.
Sebelum ini, Unisel menetapkan para pelajar mendaftar pada 8 Ogos, namun sebaik sahaja para pelajar hadir ke kampus, mereka telah diberi notis terbaru yang mengarahkan mereka pulang bercuti awal dan tarikh pendaftaran semester ditunda kepada 27 Ogos ini.
Penundaan pendaftaran ke tarikh baru itu berpunca daripada masalah penginapan, di mana syarikat konsesi, Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) pihak yang menyelia asrama penginapan itu mogok menuntut gaji yang tidak dibayar berbulan-bulan.
Unisel didakwa masih belum melunaskan hutang hampir RM15 juta terhadap JNSB yang melibatkan kos penyelenggaran dan bayaran asrama.
Apabila Unisel tidak membayar hutang, menyebabkan para pekerja JNSB kini berhadapan masalah kewangan dan lebih menyedihkan apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir.
Dalam sidang media Naib Canselor Unisel 8 Ogos lalu, beliau sendiri tidak dapat menjamin seratus peratus bahawa para pelajar mendapat penginapan mereka pada 27 Ogos ini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, Unisel telah melakukan dua tindakan iaitu menghantar surat kepada Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawir dan kedua berusaha mendapatkan injuksi mahkamah untuk membenarkan pelajar memasuki penginapan mereka.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula dilihat mengambil sikap sambil lewa terhadap isu masa depan pelajar-pelajar meskipun Unisel adalah universiti di bawah kawalannya.
Sebaliknya masih berdolak-dalih dengan menyalahkan kampus yang tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF) sebagai punca Unisel tidak mahu menyelesaikan hutang yang didakwa bernilai hampir RM15 juta dengan JNSB itu.
Sedangkan sebelum ini, Abdul Khalid mendakwa pendapatan Unisel yang tidak mencukupi merupakan faktor hutang JNSB tidak dapat dilunaskan.
Selain itu, Abdul Khalid turut menyalahkan perjanjian antara Unisel dan JNSB yang ditandatangani pada 2003 dan 2004 selama 30 tahun yang didakwanya berat sebelah.
“Kita hanya bayar kepada Jana Niaga apa yang dipanggil sewa untuk menduduki asrama tersebut. Dalam perjanjian yang ditandatangani, sama ada orang duduk atau tidak, 100 peratus sewa penginapan kita kena bayar.
“Kita nampak ini sebagai berat sebelah untuk Unisel kerana bila orang cuti pun kena bayar,” katanya.
Abdul Khalid juga keberatan untuk mengambil alih tanggungjawab ini, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi untuk mempengerusikan mesyuarat bersama yang diistilahkannya sebagai timbang tara di antara kerajaan negeri, Unisel dan JNSB.
Menurutnya jawatankuasa yang dipengerusikan Khusrin itu akan memperhalusi kaedah penyelesaian terbaik termasuk kemungkinan mengkaji semula perjanjian sedia ada antara Unisel dan JNSB.
“Mesti ada mesyuarat dan perjanjian. Saya suruh Datuk Khusrin selesaikan isu ini. Ia tak boleh diselesaikan melalui media, ia perlu dibuat secara perjanjian dan ditulis semula perjanjian, itu paling penting,” katanya.
Namun perkembangan mesyuarat timbang tara yang diadakan semalam masih menemui jalan buntu, apabila wakil JNSB tidak hadir dalam pertemuan itu.
Dalam perkembangan lain, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo menyelar sikap politiking Abdul Khalid yang melabel JNSB sebagai kroni UMNO.
“Kalau kata JNSB syarikat kroni Umno, sebutkan nama siapa orangnya? Panggil JNSB, tanya kamu ni parti mana – Umno atau tidak.
“Saya tidak tahu JNSB ini kroni Umno atau tidak. Tetapi apa masalahnya kalau JNSB kroni Umno. Orang berniaga dia tidak kira parti mana,” kata Dr. Khir seperti dilaporkan FMT.
Beliau juga turut mencabar Abdul Khalid menamatkan kontrak JNSB jika tidak gembira dengan syarikat itu dan gantikan dengan syarikat Pakatan Rakyat (PR).
“Kamu Menteri Besar boleh buat. Takkan benda macam itu tak tahu. Kata kamu korporat. Tetapi apa yang kamu buat dengan Unisel?” soalnya.
Beliau juga mempersoalkan ke mana perginya wang RM292 juta yang dibayar oleh Talam kepada Unisel.
Katanya, Unisel boleh menggunakan wang yang dibayar Talam itu untuk membayar hutangnya kepada JNSB yang dikatakan bernilai hampir RM15 juta itu, namun perkara itu tidak berlaku.
Dr. Khir berkata, Unisel mula berdepan masalah kewangan kerana jumlah kemasukan pelajar merosot teruk manakala perbelanjaan meningkat sejak diperintah PR.
“Angka terbaru pelajar Unisel ialah lebih 9,000 sedangkan ia boleh menempatkan 20,000 orang atau paling minima 14,000 pelajar.
“Apabila pelajar kurang, pendapatan Unisel pun kurang tetapi kos pengurusan Unisel meningkat RM20 juta daripada RM93 juta pada tahun 2008 kepada RM113 tahun 2010.
“Wang yang dikutip daripada pembayaran yuran pelajar digunakan untuk membayar gaji staf Unisel,” katanya lagi.
Pendapatan Unisel menyusut daripada RM94.4 juta pada 2008 kepada RM93.51 juta (2009) dan RM75.48 juta (2010).
Beliau berkata, kemasukan pelajar ke Unisel semakin berkurangan kerana standard telah jatuh ekoran terlalu banyak berpolitik.
Mai Pikiaq Pi: Rakyat Selangor harus menilai kembali adakah pemimpin yang mereka pilih sekarang patut dipilih pada PRU13 akan datang?
No comments:
Post a Comment