Nuffnang Ads

Thursday, 2 August 2012

Tema Kemerdekaan: Rais tak gusar pembangkang

Pembangkang dinasihatkan tidak membelakangkan Hari Kemerdekaan yang disambut setiap tahun di negara ini hanya kerana perbezaan fahaman politik dengan parti yang memerintah.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pembangkang perlu menghormati Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos dan bersama dengan kerajaan dalam meraikan hari keramat Malaysia itu.

"Sesiapapun boleh beri pandangan termasuk mengatakan kami tidak bersetuju dengan Janji Ditepati (tema Hari Kemerdekaan tahun ini)... juga kritik simbol diwujudkan tetapi saya mohon jangan terpesong daripada hormati Hari Merdeka.

"Bagi seseorang yang menjadi pembangkang di negara ini, bangkangan itu tidak sahih jika dia membelakangi Hari Merdeka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang yang bercadang menggunakan tema 'Senegara, Sehati, Sejiwa' bagi sambutan Hari Kemerdekaan dan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan yang berasingan menggunakan tema dipilih mereka itu.

Rais berkata, sekiranya pembangkang terus berdegil mahu mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan berbeza, tindakan itu adalah yang pertama seumpamanya dilakukan dalam tempoh negara merdeka.

"Tidak usah diganti (tema), sebab kerajaan sudah putuskan supaya 'Janji Ditepati' guna tahun ini dan kiranya tiada aral pada masa akan datang, kita timbang tema (pembangkang) itu, kita jalinkan dalam program lain.

"Saya tidak gusar mereka terima atau tidak terima, buatlah apa yang patut oleh pembangkang tetapi saya mohon wajarlah kita bersama pada hari itu dan beri penekanan kepada sayangnya kita kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata, lapan lagi grafik sempena Hari Kemerdekaan akan disiarkan di dada media setiap minggu sehingga 31 Ogos depan bagi merancakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 tahun ini.

Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan lagu tema Hari Kemerdekaan tahun ini 'Janji Ditepati' ditiru daripada sebuah lagu Indonesia, Rais meminta pihak yang mendakwa sedemikian tampil ke hadapan dan mengemukakan bukti.



Mai Pikiaq Pi: Tak habis-habis kata tiru Indonesia... Ingat Indonesia saja yang monopoli semua perkara dalam dunia ini... MPP memang benci sangat kalau ada individu atau kelompok yang mengatakan Malaysia meniru Indonesia... Memang dajal orang itu....

No comments:

Post a Comment