Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah kesal dengan tindakan pembangkang yang mempolitikkkan tema Hari Kebangsaan ‘Janji Ditepati’ kerana sebelum ini tidak pernah ada pihak yang mempolitikkan tema Hari Kebangsaan.
Katanya, Hari Kebangsaan adalah hari kebesaran negara dan ia sepatutnya tidak dipolitikkan oleh sesiapapun kerana inilah peristiwa yang membolehkan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan keturunan bersatu serta merayakannya bersama.
“Pembangkang menuduh kononnya tema Hari Merdeka kali ini ‘Janji Ditepati’ adalah agenda Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Pada saya ini tidak betul kerana selama inipun tema-tema yang digunakan oleh kerajaan semuanya yang berkaitan dengan agenda negara ini. Pada saya bukan persoalan tema sahaja yang pembangkang bimbangkan, namun ianya lebih daripada itu.
“Mereka sebenarnya bimbang dan takut jika rakyat boleh menilai tahap dan perkhidmatan mereka selama ini terutama selepas PRU12 kerana banyak yang mereka janjikan tetapi tidak pernah tertunai malah hanya bijak menabur janji kosong,” ujarnya lagi.
Shamsul Anuar yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong menjelaskan, sebenarnya sejak PRU12 tanpa disedari pembangkang telah membina imej mereka sendiri iaitu sebuah pakatan yang hanya bijak dan pakar menabur janji dan gagal menunaikannya.
Tegas beliau lagi, janji mereka hanya untuk menarik sokongan rakyat dan tema Hari Kebangsaan kali ini memberikan pukulan kepada mereka.
“Bagi saya dalam hal ini sepatutnya Pas sebagai sebuah parti Islam harus faham bila berjanji ia sebenarnya adalah hutang. Memenuhi janji dalam Islam adalah satu kewajipan. Sebab itulah Rasulullah menerangkan bahawa salah satu sifat orang munafik adalah ingkar bila berjanji dan kerana itu jugalah Allah berfirman ‘Dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya ‘ (Al-Isra : 34).
“Pas seharusnya tahu bahawa menepati janji adalah kewajipan syari’ baik sesama muslim ataupun tidak. Tetapi kerana memang sudah menjadi tabiat pembangkang yang hanya pandai berjanji tanpa menunaikannya maka mereka cuba mencari alasan untuk tidak menggunakan tema ini.
“Saya fikir punca utama mereka tidak mahu menggunakan tema ini selain mempolitikkkan tema hari kemerdekaan ini adalah helah mereka untuk menutup ruang agar rakyat tidak dapat menilai segala perkhidmatan mereka pada rakyat selama ini,” ujarnya.
Tambah Shamsul, apa yang dilakukan pembangkang ini adalah satu perkara yang amat dikesali kerana mereka seringkali mempolitikkkan setiap isu atau perkara yang kerajaan lakukan. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai rakyat negara ini, seharusnya mesti ada had dan batasan bila berpolitik.
“Janganlah semua perkara hendak dipolitikkkan. Keadaan ini sebenarnya akan memberikan gambaran buruk kepada rakyat terutama dalam kalangan anak-anak di sekolah yang secara tidak langsung diheret untuk berpolitik.
“Bayangkan di empat negara pembangkang tidak menggunakan tema Hari Kebangsaan yang sama seperti kerajaan putuskan, sudah tentu ia akan menimbulkan persoalan dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan akan membahayakan masa hadapan negara sendiri. Pembangkang dengan sendirinya menanam nilai negatif dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi negara pada masa akan datang.
“Pada saya sebenarnya mereka sendiri tidak sepakat dan ini jelas menunjukkan mereka tidak ‘sejiwa’. Ini baru perkara kecil yang berkaitan penentuan tema Hari Kebangsaan mereka telah bercelaru. Bayangkan kalau perkara besar, apa yang akan terjadi. Sebab itu rakyat jangan memperjudikan masa depan dengan memilih mereka sebagai pemimpin,” tambah beliau lagi.
Mai Pikiaq Pi: Agaknya kalau pembangkang diberi kuasa memerintah negara, apa pula tema yang dipilih.. "Janji Kosong" agaknya.....
No comments:
Post a Comment