Pakatan pembangkang sentiasa berusaha memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan mewujudkan pelbagai persepsi negatif yang menggambarkan seolah-olah parti terbabit tidak bertanggungjawab dan melakukan pelbagai penyelewengan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa kemahiran utama pembangkang adalah dalam mewujudkan manipulasi terhadap sesuatu isu yang akan memberi gambaran buruk untuk mengelirukan rakyat.
“Pakatan pembangkang memberikan pelbagai tanggapan yang buruk atas apa saja pelaksanaan yang dilakukan oleh kerajaan malah tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) juga turut digembar-gemburkan dengan pelbagai persepsi,” katanya.
Jelasnya, sejak setahun yang lalu pakatan pembangkang mula meletakkan tarikh jangkaan untuk PRU Ke-13 diadakan dengan pelbagai andaian sehinggakan rakyat turut terpengaruh dengan manipulasi mereka.
“Mereka memberikan jangkaan awal tahun ini, kemudian pertengahan, bulan seterusnya dan seterusnya tetapi semuanya tidak tepat sebaliknya kerajaan terus melakukan gerak kerja dan melaksanakan perancangan sebagaimana yang digariskan.
“Tidak cukup dengan itu, pakatan pembangkang mula mencanangkan bahawa kerajaan takut untuk berdepan dengan PRU jika dilaksanakan lebih awal walhal mereka sendiri telah tersalah tafsir dan malu sendiri berikutan tanggapan negatif terkena diri mereka sendiri.”
Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan berkaitan persediaan BN/UMNO dalam menghadapi PRU kepada Kaunselor Politik Suruhanjaya Tinggi British, Nigel Boud dalam kunjungan hormatnya di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, hari ini.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN menegaskan bahawa parti terbabit sentiasa berusaha mengekalkan kuasa sebagai tampuk kerajaan bukan semata-mata kerana kedudukan dan pangkat sebaliknya ia adalah tanggungjawab sebagai kerajaan yang sentiasa berusaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita sedar bahawa pakatan pembangkang juga akan menggunakan pelbagai kaedah bagi mempertahankan kerusi dan negeri-negeri yang telah mereka menangi dalam PRU lalu biarpun jika dilihat dari sudut pentadbirannya mereka gagal melakukan yang terbaik apatah lagi untuk menandingi BN.
“Secara zahirnya BN disemua peringkat akar umbi telah bersedia dengan PRU yang akan berlangsung dalam masa terdekat ini dan kita yakin bahawa kemenangan akan tetap berpihak pada BN walaupun pakatan pembangkang melemparkan pelbagai tuduhan dan persepsi buruk kepada kerajaan hari ini,” katanya.
Ujar beliau lagi, sehingga ke hari ini pembangkang gagal menterjemahkan apa yang telah mereka janjikan dalam menifesto mereka ketika berkempen pada PRU ke-12 lalu apatah lagi untuk menunjukkan kabinet bayangan walaupun dikatakan ianya telah ada.
“Pemimpin BN mengakui bahawa kerajaan yang ada hari ini tidak sempurna dan ada melakukan kesilapan namun kita sedar dan sentiasa memperbaiki setiap kelemahan yang ada dengan penambahbaikan yang dibuat dari semasa ke semasa.
“Perdana Menteri dan kepimpinan kerajaan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat di akar umbi dan sedar bahawa PRU kali ini adalah satu persaingan yang sangat sengit kerana pakatan pembangkang akan berhabis-habisan untuk menghancurkan BN, namun BN sentiasa bersedia menghadapi apa jua cabaran,” jelasnya.
Tambah beliau, dengan menjadi teraju lebih 55 tahun kepada negara ini tentunya BN telah cukup matang dalam berdepan dengan pelbagai krisis termasuklah untuk mengharungi satu lagi PRU setelah 12 kali melaluinya dengan sentiasa beroleh kemenangan.
Mai Pikiaq Pi: Modal politik pembangkang hanya memburukkan BN.... tanpa ada modal yang berguna untuk kepentingan rakyat jelata...
No comments:
Post a Comment