Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Mohd Fairus Khairuddin berkata, tindakan berterusan pemimpin pembangkang terutama daripada PKR dan DAP menghina Islam telah membuka tembelang Pas sendiri betapa parti itu sebenarnya lebih mengutamakan politik berbanding perjuangan Islam yang selama ini dilaung-laungkan.
Menurut beliau, hakikat itu dapat dilihat daripada tindak-tanduk segelintir pimpinan Pas berhubung kontroversi yang berlaku ke atas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang memperlihatkan hipokrasi parti berkenaan.
“Saya bukannya menuduh….dan sebenarnya keenganan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengulas lanjut berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menimbulkan kontroversi bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Apatah lagi Presiden Pas itu sendiri mengakui bahawa tumpuan utama parti itu sekarang ialah untuk menang pilihan raya.
“Memang kita dah jangkakan perkara ini jika isu tersebut ditanyakan kepada pimpinan Pas. Tentunya akan ada yang mengambil sikap berkecuali atau pun mereka akan mengelak untuk mengulas mengenainya demi kepentingan politik kecuali segelintir daripada pimpinan Pas yang lain,” katanya.
Beliau seterusnya menambah Pas seharusnya mengambil sikap berani menegur dalam apa jua keadaan sekalipun terutama dalam soal-soal bab akidah dan melibatkan kepentingan Islam.
“Kenapa perlu takut kerana tentunya perkara-perkara sebegitu boleh mengundang polemik yang lebih berterusan dan yang lebih besar. Bukankah dalam Islam kita disarankan agar mengelakkan fitnah.
“Jangan berpura-pura kerana tentunya sejauh mana kepura-puraan itu akhirnya akan diketahui umum. Penyakit yang busuk jika ditutup dengan apa sekali pun akan tetap dihidu baunya,” katanya.
Tambahnya lagi, umat Islam perlu melihat dengan penuh ilmu bagaimana politik Pas dan tentunya akan timbul persoalan apakah kerana tawaran menuju bersama ke Putrajaya membuatkan Pas mengambil tindakan sedemikian rupa.
“Kaedah ini saya kira orang dah boleh baca dan boleh nilai….Apabila timbul sahaja isu yang melibatkan pimpinan pembangkang, banyak dalih dan banyak pula alasan yang keluar. Tak cukup bukti la dan macam-macam lagi,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: Mana pendirian Pas selama ini yang kononnya berpegang kepada Islam....
No comments:
Post a Comment