Nuffnang Ads

Wednesday, 28 November 2012

Puteri Umno dekati pengundi atas pagar supaya sokong kerajaan

Pergerakan Puteri Umno sedia mendekati golongan pengundi atas pagar bagi mengenal pasti kemahuan serta kehendak mereka supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat dengan menyokong kerajaan apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
 
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, untuk tujuan itu Puteri Umno akan menubuhkan sebuah skuad penggerak bagi mengenal pasti keperluan mendesak golongan pengundi atas pagar itu.
 
"Skuad ini akan mengadakan survei mengenai kemahuan mendesak mereka. Kehendak mereka mudah berubah dan skuad ini perlu mendekati mereka setiap masa hatta sehingga hampir tiba saat pilihan raya.
 
"Kemahuan mereka akan disampaikan terus kepada kerajaan," katanya dalam ucapan dasar bertajuk 'Juang' pada persidangan perwakilan pergerakan itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
 
Turut hadir tiga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, Dr. Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Rosnah berkata, untuk tujuan itu juga Puteri Umno menubuhkan sebuah skuad pemantau bagi mengenal pasti sebarang keciciran atau isu terlepas pandang.
 
Katanya ini penting bagi memastikan Umno tidak kehilangan undi atas sebab yang tidak dijangkakan sungguhpun kerajaan telah menjalankan pelbagai program termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).
 
"Puteri juga mahu mempergiatkan usaha Cyber Troopers untuk terus mendekati rakyat supaya program yang kita laksanakan dapat terus sampai ke peringkat akar umbi melalui maklumat dan informasi yang betul," katanya.
 
Rosnah berkata, Puteri Umno juga memperhebatkan lagi program santai yang melibatkan rakyat secara terus dan tidak terikat dengan protokol, dan digerakkan secara berterusan hinggalah PRU-13 berlangsung.
 
Bagi mendekati golongan muda secara konstruktif, Rosnah berkata, Puteri Umno merancang beberapa pelan tindakan untuk memastikan golongan itu tidak tercicir daripada arus perjuangan.

Katanya, langkah pertama adalah penubuhan 'Sekretariat IDEA' yang akan dianggotai oleh golongan wanita muda daripada pelbagai latar belakang untuk bergerak sebagai sebuah badan bebas yang akan melaksanakan aktiviti yang lebih segar dan unik.
 
Rosnah berkata, Puteri juga mahu menggiatkan aktiviti dan kempen jelajah ke seluruh negara mempromosikan budaya politik yang bersih dan terpimpin sebagai usaha memerangi politik persepsi dan fitnah.
 
"Ini penting untuk memberi gambaran betapa pergerakan sentiasa mendahulukan perjuangan agama dan bangsa sekalipun perlu melalui jalan yang sukar," katanya.
 
Rosnah berkata, Puteri Umno akan terus giat mendekati pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia melalui pengemaskinian data pelajar di setiap bahagian.
 
Selain itu, katanya pergerakan berkenaan juga akan menubuhkan sebuah akademi politik dan sebuah jawatankuasa pencarian bakat yang dikenali sebagai 'Mentor' dengan wanita muda cemerlang dalam bidang masing-masing memberi tunjuk ajar kepada pelapis wanita muda.
 
Beliau berkata, Sidang Kemuncak Wanita Muda Malaysia juga sedang dirancang bagi membincangkan pelbagai isu wanita muda dan halatuju masa depan tanpa mengira latar belakang politik.


Mai Pikiaq Pi: Pengundi atas pagar adalah penentu kemenangan BN pada PRU13 nanti....

No comments:

Post a Comment