Nuffnang Ads

Friday 14 December 2012

DAP Pertikai Isu Tangkapan ‘Khalwat’ Bukan Islam


Selepas Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan untuk menangguhkan penguatkuasaan syarat-syarat lesen salun rambut bukan Islam, DAP mara setapak lagi mempertikaikan pula penguatkuasan tangkapan dan tindakan saman terhadap dua pasangan bukan Islam oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPK-BRI).
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook seperti dilaporkan Antarapos berkata, beliau mahu siasatan dilakukan dengan lebih terperinci bagi membuktikan bahawa dua pasangan bukan Islam itu benar-benar layak disaman atas tuduhan berkelakuan tidak sopan.
“Saya rasa isu saman pasangan bukan Islam perlu disiasat lebih lanjut, sama ada betul ke pasangan itu melakukan sesuatu yang keterlaluan. Kalau setakat mereka duduk berdua-duaan, saya rasa mereka tidak patut dikenakan tindakan,” ujarnya.
Ketika ditanya adakah undang-undang PBT patut diasingkan antara orang Islam dan bukan Islam, Anthony berkata, undang-undang itu tidak harus dipisahkan kerana ia sekadar undang-undang kecil.
“Akur (pada undang-undang PBT) bukan isunya di sini tetapi bagaimana dikuatkuasakan. Ia satu definasi yang kabur. Apakah yang dikatakan tidak bermoral? Yang itu kena siasat, apakah bukti yang mengatakan mereka melakukan perbuatan tidak bermoral?,” soalnya.
Anthony yang juga merupakan bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP menegaskan undang-undang Islam tidak boleh sama sekali dikenakan ke atas orang bukan Islam.
“Kita bukan pertikaikan undang-undang PBT itu, tetapi jika undang-undang Islam dikenakan kepada bukan Islam, itu tidak patut. Tapi jika guna undang-undang PBT, kena jelaskanlah bagaimana mereka mentafsirkan undang-undang itu,” katanya lagi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya memberitahu sesi penerangan tentang itu tersebut telah diberikan kepada wakil DAP, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bukit Bendera.
Liew Chin Tong yang juga pemain di belakang tabir, badan pemikir DAP, Penang Institute telah dihantar khusus oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP menemui PAS.
Mustafa berkata, kes di MPKB-BRI sama seperti kes di bawah DBKL pada 2004 di mana mahkamah sebulat suara memutuskan Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah betul untuk mendakwa dua pelajar kerana berkelakuan tidak sopan iaitu berpeluk dan bercium di taman KLCC.
Korum itu memutuskan Seksyen 8 (1) Undang-undang Kecil Taman, seksyen yang dirujuk oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk menghukum sesiapa yang didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam adalah mengikut Perlembagaan.
Mai Pikiaq Pi: Islam atau bukan Islam tidak lari daripada undang-undang PBT... 

No comments:

Post a Comment