Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat menolak parti-parti pembangkang kerana undi kepada golongan itu membawa maksud kerosakan akidah, perpecahan kaum dan penindasan kaum tertentu.
Perdana Menteri berkata, hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berjuang untuk negara ini dan kemajuan bangsa Melayu serta bangsa lain.
“Yakin dan percayalah satu undi untuk PKR (Parti Keadilan Rakyat) bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi untuk Pas bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan bangsa tercinta.
“Satu undi untuk Umno dan BN adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Berucap di hadapan lebih 2,700 anggota perwakilan, presiden UMNO berkata inilah masanya untuk rakyat negara ini termasuk anggota UMNO untuk berada dalam barisan yang bersatu bagi menentang fitnah daripada PAS, menentang pluralisme daripada PKR dan menentang perkauman daripada DAP.
“Adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu anak-anak kita sesat akidahnya? Adakah kita mahu anak-anak kita gelap masa depan? Adakah mahu negara ini porak-peranda? Adakah kita sanggup memperjudi masa depan negara?
“Kalau semua jawapan tidak, katakan ‘tidak’ kepada PKR, katakan ‘tidak’ kepada Pas dan katakan ‘tidak’ kepada DAP,” katanya.
Perdana Menteri turut meminta para perwakilan dan mereka yang melihat dan mendengar ucapan beliau supaya membayangkan segala kesyukuran, kedamaian dan kebahagian yang dikecapi dan dinikmati serta yang akan terus dirasai hasil pemerintahan UMNO dan BN berbanding jika pembangkang yang memerintah.
“Bayangkan juga segala kehancuran, kemusnahan, kerosakan, porak peranda dan kebangsatan jika pilih pembangkang. Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah, demi anak cucu kita, mesti setia kepada perjuangan UMNO.
“Demi kedaulatan dan kesucian agama Islam, kerana UMNO mempertahan Islam, kita mesti taat kepada pemimpin Umno demi kemenangan parti, kerana UMNO pembela rakyat,” katanya.
Beliau turut meminta anggota UMNO supaya bersatu dan tidak bersengketa kerana perpaduan adalah tiang seri kepada kejayaan UMNO.
“Yakinlah hanya UMNO yang mampu mempertahan kesucian agama Islam. Hanya UMNO yang mampu membela nasib bangsa Melayu dan kaum-kaum lain. Katakan dalam jiwa kita, hidup dan mati hanya untuk Islam. Wajib pertahankan UMNO kerana UMNO pertahankan Islam,” katanya.
Katanya, ada pihak melabelkan UMNO dan kerajaan BN yang menerajui Malaysia sebagai pihak yang zalim, tetapi hakikatnya kerajaan Malaysia mendapatkan pengiktirafan begitu tinggi di peringkat antarabangsa, terutama dari dunia Islam.
“Kitalah di pihak yang benar. Ini main labeling kononnya kita zalim. Kita jadikan Islam Addin, Syumul dan ketinggian Islam adalah perjuangan UMNO dari dulu sampai sekarang,” katanya.
Najib berkata, BN adalah kerajaan yang adil kerana sebarang bantuan hanya diberikan kepada semua orang dan bukan kepada penyokong BN dan UMNO.
“Puak sana buat apa? Orang UMNO dia tak bagi. Ladang estet di Kelantan siapa dapat? Majlis daerah kontraktor-kontraktor kelas F di Selangor siapa dapat?” soal beliau.
Mai Pikiaq Pi: Undi UMNO dan BN adalah kelangsungan politik Melayu pada mata dunia....
No comments:
Post a Comment