Nuffnang Ads

Wednesday, 12 December 2012

Polis rakam 10 keterangan bantu siasatan dakwaan kes rogol

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telahpun merakam keterangan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang wanita Indonesia bahawa dia dirogol dua anggota polis di Taman Limau Manis, Bukit Tengah, dekat sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mahu semua pihak agar tidak membuat spekulasi sehingga polis selesai menjalankan siasatan.

"Siasatan yang dijalankan secara menyeluruh dan melibatkan beberapa pakar, tunggu sehingga siasatan selesai dan polis akan mengumumkan hasilnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan 'Forum mengenai Jenayah dan Kepolisan di Malaysia' kali kelapan anjuran Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Antara anggota panel yang membincangkan forum sehari yang bertajuk 'Halatuju Kepolisan dalam Kontemporari Malaysia: Tuntutan Awam lwn Realiti' ialah Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Abdul Samah Mat.

Khalid berkata, polis tidak akan menyembunyikan hasil siasatan dan sekiranya terbukti anggotanya terlibat dalam kes itu tindakan undang-undang tetap akan dikenakan.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini melaporkan seorang wanita Indonesia mendakwa dirogol dan dipukul dua anggota polis peronda dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu.

Wanita itu mendakwa teksi yang dinaikinya ditahan sebuah kereta peronda polis dan dia ditahan kerana hanya membawa salinan pasport. Dakwanya lagi, dia turut dipukul sehingga pengsan selama dua jam.

Dia kemudian membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta di Bayan Lepas dan memaklumkan dirogol serta dipukul kepada doktor di klinik tersebut sebelum kesnya dirujuk kepada polis.

Dalam perkembangan lain, Khalid menegaskan PDRM sedang dalam proses menambah baik perkhidmatan sesuai dengan tuntutan dan kehendak semasa.

"Tidak guna untuk kita melihat ke belakang, cabaran kita berada di hadapan, kita mahu menambah baik perkhidmatan kita," katanya ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa PDRM perlu bebas pengaruh politik. 


Mai Pikiaq Pi: Rakyat Indonesia juga tidak perlu membuat sebarang spekulasi siapa yang bersalah sehinggalah terbukti pesalahnya... 

No comments:

Post a Comment