Nuffnang Ads

Monday, 24 December 2012

Tapisan calon PRU13 patut libat masalah moral


Cadangan melaksanakan tapisan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disambut dengan nada berbeza pemimpin-pemimpin negara.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan ini patut dipersetujui semua parti politik dan calon yang akan bertanding pada PRU13 nanti.

Menurutnya, selain tapisan SPRM, ia sepatutnya melibatkan juga soal salah laku moral yang lain.
“Mungkin parti tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai seseorang calon, terutamanya kes melibatkan rasuah, kes dalam siasatan dan pelbagai kes lain, termasuk bankrap.

“Cadangan ini menjimatkan masa dan wang selain memastikan kredibiliti politik dan amalan demokrasi negara lebih telus dan dihormati, ia juga sepatutnya melibatkan soal salah laku moral lain,” katanya semalam.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berkata, cadangan ini dipersetujui dan diamalkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) bagi menjamin integriti calon yang akan bertanding.

Menurutnya, calon-calon BN sebelum ini bukan sahaja ditapis SPRM malah oleh pihak polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Insolvensi dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan calon tiada masalah.

“Saya menyambut baik cadangan ini, jangan ada kejutan bila calon diumumkan nanti,” katanya.

Pada Khamis lalu, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaafar berkata, cadangan ini membabitkan semua parti politik dan individu bertanding calon Bebas, termasuk Ahli Parlimen yang dicalonkan semula atau pertama kali bertanding.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, calon-calon PRU13 tidak perlu ditapis SPRM kerana parti sendiri sudah mempunyai mekanisme tapisan tersendiri bagi memastikan calon benar-benar layak.

Katanya, jika ada juga calon terlepas dan didapati menerima rasuah atau melompat parti, maka kerugian itu akan terletak di bahu parti sendiri.
“Undang-undang negara jelas untuk menjadi calon, tidak bankrap dan tiada masalah jenayah. Jika dipenuhi boleh bertanding.

“Cadangan terbaru SPRM ini hanya gimik bagi mengalih perhatian terhadap beberapa kes berprofil tinggi,” katanya.
Mai Pikiaq Pi: MPP setuju sangat calon PRU13 ditapis terlebih dahulu kerana mereka mewakili rakyat sesuatu kawasan...

No comments:

Post a Comment