Nuffnang Ads

Wednesday, 25 April 2012

Anwar Bohong Lagi...


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi bakal melakukan pembohongan besar apabila mendakwa ada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Sabah akan menyertai pakatan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Anwar bakal mengulangi pembohongan besar yang dilakukannya pada 16 September 2008 kononnya pembangkang akan membentuk kerajaan berikutan penghijrahan ramai wakil rakyat BN, walhal perkara itu tidak berlaku sehingga sekarang.

Menurut beliau, kenyataan Anwar tersebut tidak lebih untuk menunjukkan dia mendapat sokongan besar sehingga sanggup melakukan pembohongan demi pembohongan.

"Apakah rakyat masih nak terpedaya dengan kenyataan Anwar Ibrahim tentang hal itu? Dia fikir kalau ada orang kita nak duduk dekat sebelah dia bercakap, nak masuk ikut dialah.

"Pemimpin-pemimpin utama BN tahu lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, baik di Sabah, Kelantan, Sarawak sokongan meningkat dan jelas terbukti memang rakyat mahukan pimpinan BN," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan khas bersama pesara-pesara kerajaan, guru, tentera dan polis di sini.


Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa beberapa wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, rakyat boleh menilai prestasi parti pakatan pembangkang khususnya di negeri-negeri yang mereka kuasai.

"Pelbagai ideologi, pendekatan yang sememangnya menimbulkan keresahan masyarakat, dasar tidak konsisten, pakatan yang rapuh, strategi yang makan diri, pendirian tidak tegas, ini dapat kita lihat berlaku dalam tempoh tiga tahun (pentadbiran pembangkang)," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, berdasarkan tinjauan lawatan beliau ke Kelantan mendapati rakyat negeri itu semakin berminat dan ada kesungguhan untuk bersama-sama dengan UMNO dan BN.

Sementara itu, Muhyiddin turut memberitahu, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM100,000 bagi menyediakan sistem penapis air di 30 buah sekolah di negeri ini yang menghadapi masalah bekalan air bersih.

Katanya, usaha tersebut dilakukan kerana kerajaan bimbang penularan penyakit dalam kalangan pelajar disebabkan bekalan air tidak bersih di sekolah-sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah yang berdepan masalah bekalan air bersih serius termasuk di kawasan luar bandar, sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.

"Masalah air bersih isu besar di Kelantan dan kita bimbang kalau anak-anak kita tak dibekalkan air bersih di sekolah, ini akan jadi satu isu kesihatan yang boleh mengganggu pelajaran mereka," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM120,000 kepada empat persatuan iaitu Persatuan Bekas Tentera Malaysia, persatuan bekas polis, persatuan pesara kerajaan dan persatuan pesara pendidikan Kelantan.

Mengulas sikap kerajaan Pas Kelantan yang menganggap isu bekalan air bersih sebagai 'remeh', Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ia berlaku disebabkan ketidakupayaan kerajaan Pas untuk menyelesaikan masalah tersebut.

No comments:

Post a Comment