Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri
Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga bekas Menteri Besar Perak, mengakui telah
menandatangani surat bertarikh 17 Disember 2008 berhubung sokongan terhadap
projek pusat pengagihan bijih besi Vale International dan kesahihan kandungan
surat berkenaan.
Perkara itu diakuinya selepas Tan Sri Tajol Rosli Ghazali
(BN-Pengkalan Hulu) yang menggunakan Perintah Tetap 23 (c) meminta ADUN Pasir
Panjang itu menyatakan sama ada kandungan surat yang dibacakan oleh Menteri
Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebelum itu benar atau sebaliknya.
"Saya mengakui surat itu sahih, benar dan saya yang
menandatangani surat berkenaan. Surat itu adalah benar," kata Mohammad
Nizar pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham
(DAP-Sitiawan), Zambry berkata, isu berhubung kelulusan terhadap pelaburan
projek pengagihan bijih besi oleh Vale International di Perak sepatutnya
dijawab oleh Mohammad Nizar kerana beliau menjadi Menteri Besar ketika itu.
Ngeh mahu penjelasan mengapa Kerajaan Barisan Nasional (BN)
meluluskan projek bijih besi itu di Teluk Rubiah, Lumut sedangkan kerajaan
negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang telah mencadangkan di Tanjung
Hantu, Bagan Datoh.
Zambry berkata, soalan yang dikemukakan oleh Ngeh
menimbulkan kehairanan kepadanya kerana isu pelaburan Vale di Perak yang
dimainkan bagi kepentingan politik pembangkang sepatutnya ditujukan kepada
Mohammad Nizar yang bertanggungjawab sebagai Menteri Besar semasa pentadbiran
pembangkang.
"Isu ini dimainkan oleh pakatan. Mohammad Nizar
bersungguh-sungguh mendakwa tidak pernah langsung bersetuju dengan projek ini,
beliau mendakwa projek itu dicadangkan di tempat lain... lantas pelaburan Vale
di Teluk Rubiah telah menjadi isu," katanya.
Beliau menjelaskan Vale sebelum itu telah membuat kajian
bagi pelaburan itu di Thailand, Vietnam, Filipina serta Malaysia dan akhirnya
pada 2007 syarikat berkenaan memuktamadkan projek itu akan dijalankan di Perak,
Malaysia kerana mempunyai persekitaran yang lebih kondusif.
"Mereka menjalankan kajian teknikal khususnya mengenai
kedalaman dasar laut terutama bagi laluan kapal-kapal besar. Kawasan di Teluk
Rubiah didapati paling sesuai dengan saiz keluasan tapak dan kedalaman dasar
laut," katanya.
Selepas melalui proses rundingan dengan beberapa pihak, Vale
akhirnya mencapai kata putus mengenai rundingan dengan Harta Makmur Sdn. Bhd.
yang merupakan pemilik kepada tanah di Teluk Rubiah dan Menteri Besar pada
ketika itu telah mengeluarkan surat sokongan kepada projek itu bertarikh 17
Disember 2008, katanya.
"Kandungan surat itu akui bahawa projek Vale itu akan
mendapat lesen pelaburan dan insentif. Surat itu turut memaklumkan Perak berasa
sukacita apabila dimaklumkan mengenai perkembangan positif antara Vale dan
Harta Makmur berhubung tapak tanah. Selain itu, Perak akan memproses pindah
milik itu dan tukar syarat tanah daripada pelancongan kepada industri,"
katanya.
Dengan penjelasan berhubung isu projek pelaburan Vale yang
dicetuskan pakatan pembangkang itu, Zambry berkata dalam usaha memacu
pertumbuhan ekonomi negeri, kelakuan pembangkang membuat tomahan, fitnah dan
tuduhan tidak berasas adalah tidak wajar.
Beliau berharap projek pelaburan bijih besi oleh Vale itu
akan menjadi penjana ke arah pertumbuhan yang besar kepada negeri Perak dan
tidak dijadikan bahan serta gadaian politik murahan sehingga ada ADUN
pembangkang yang terlibat dalam demonstrasi di Teluk Rubiah baru-baru ini.
Pada Sabtu lepas, Mohammad Nizar, Ngeh dan Adun Tronoh V.
Sivakumar menyertai 100 anggota Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak (JAASP)
mengadakan bantahan operasi syarikat bijih besi Vale SA di Teluk Rubiah yang
didakwa akan memusnahkan alam sekitar di kawasan itu.
Mai Pikiaq Pi: Peliklah si Nizar nie... kononnya bantah
projek bijih besi tapi dia yang sebenarnya menandatangani surat menyokong
projek itu... Aku rasa depa nie memang tak ada isu nak dibangkitkan... sampai
isu ini pun nak dijadikan bahan mengutuk kerajaan yang akhirnya terpalit ke
muka sendiri...
No comments:
Post a Comment