Nuffnang Ads

Friday, 20 April 2012

Pengurangan Caj Warga Emas Sebanyak 50 Peratus


Warga emas berusia 60 tahun ke atas akan menikmati pengurangan caj sebanyak 50 peratus daripada kadar caj pesakit kelas tiga dengan caj maksimum RM250 bagi setiap kemasukan berkuat kuasa 1 Mei ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut mengulangi keputusan kerajaan semasa Bajet 2012 untuk mengecualikan caj pendaftaran RM5 di Jabatan Pesakit Luar Pakar di hospital dan klinik kerajaan.

Katanya, pengumuman itu sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan warga emas yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

''Kita juga telah mengecualikan caj pendaftaran pesakit luar sebanyak RM1 di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia milik Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 1 Januari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia. MAWIP-Hospital Putrajaya, di Presint 8, di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia menawarkan perkhidmatan Kelas Satu pada bayaran Kelas Tiga, dengan bayaran serendah RM3 rakyat dapat menikmati layanan dan perkhidmatan yang setaraf dengan kemudahan Wad Kelas Satu.

Pusat yang diubah suai daripada dua blok kuarters untuk kakitangan kerajaan turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bilik bersalin berhawa dingin, Pusat Saringan Pesakit (PAC), bilik untuk pesakit antenatal dan postnatal, serta 24 buah katil bagi pesakit pediatrik bersama penjaga mereka.

''Dengan hanya RM3 pesakit boleh mendapatkan rawatan doktor, sewa bilik, ubat-ubatan dan makanan, ini merupakan satu kadar sewaan yang barangkali terbaik didunia kerana kemudahannya bermutu tinggi, bilik pun cukup bersih dan selesa tetapi bayaran sangat rendah.

''Bagi penjawat awam tidak dikenakan bayaran kerana ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan untuk menjaga kepentingan rakyat," katanya.

Najib turut memuji usaha pihak yang berkenaan kerana pengubahsuaian pusat itu hanya menelan belanja RM12 juta merangkumi kos perolehan peralatan perubatan, bukan perubatan dan kenderaan serta pengubahsuaian bangunan.

Perdana Menteri berkata, kos itu merupakan satu penjimatan berbanding pembinaan hospital baru di satu kawasan baru, yang memerlukan peruntukan yang lebih tinggi melibatkan pengambilan tanah, pembinaan yang memakan masa lebih panjang dan membiayai kos buruh yang semakin meningkat.

Katanya, selain penjimatan perbelanjaan, Strategi Lautan Biru yang diterapkan oleh agensi-agensi terlibat dalam menjayakan projek pusat tersebut adalah langkah bijak yang harus dicontohi oleh agensi kerajaan.

Pusat itu turut menempatkan pakar obstetrik, ginekologi dan pediatrik yang bertugas pada setiap hari bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang berkualiti, profesional dan berkesan.

Mai Pikiaq Pi: Lepas nie rakyat kelas pertengahan dan bawahan boleh mendapatkan rawatan Kelas Pertama di hospital kerajaan setanding di hospital swasta yang mengenakan bayaran ribuan ringgit...

No comments:

Post a Comment