Nuffnang Ads

Thursday, 5 April 2012

Misi Kawasan Selamat, Rebut Kerusi MB Bom Jangka Buat Pembangkang


Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin percaya pencarian kawasan selamat dan agenda merebut jawatan Menteri Besar dalam kalangan parti pembangkang akan bertambah parah menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Dengan menyifatkan perkara itu umpama suis kepada bom jangka yang akan meranapkan mereka kelak, beliau seterusnya menambah itulah harga yang terpaksa dibayar dan kesan akibat daripada kahwin paksa.
“Saya sedikit pun tidak terkejut dengan perkembangan berkenaan……Biasalah kalau dah kahwin paksa itu tidak akan kekal lama…seorang ke barat dan seorang ke timur dan seorang lagi ke tengah. Bagaimana nak bersatu dan kekal jika matlamatnya lain dan perjuangannnya lain.
“Sebab itulah apa yang saya nampak perkara itu umpama suis dan akan menjadi punca kepada keretakan pembangkang apabila pilihan raya nanti. Bayangkan belum apa-apa pun lagi masing-masing dah bercakaran.
“Rebut kawasan dah satu hal…rebut jawatan lagi satu hal. Rakyat boleh tengok dan lihat bagaimana kerakusan mereka yang berkiblatkan nafsu semata-mata dan bukannya ingin berkhidmat untuk kepentingan rakyat,“ katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau mengulas masalah dalaman yang melanda parti pembangkang sepertimana yang berlaku di Johor apabila masing-masing sudah bernafsu untuk menduduk kerusi Menteri Besar (MB).
Belum pun memerintah negeri berkenaan, pakatan pembangkang sudah mula menampakkan sifat ‘tamak kuasa’ apabila masing-masing dilihat tegas dengan pendirian masing-masing.
Akhbar hari ini melaporkan bagaimana hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meletakkan Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng sebagai MB jika menang, tidak sehaluan dengan kehendak Pas yang mahu calon bagi jawatan itu diberikan kepada seorang Melayu dan beragama Islam.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, hanya Melayu yang beragama Islam akan dilantik sebagai MB Johor jika pembangkang berjaya merampas negeri itu.
Katanya, semua pemimpin pakatan pembangkang telah bersetuju dengan syarat tersebut seperti yang dibincangkan sebelum ini.
Mengulas lebih lanjut, Fairus seterusnya menambah graf pertembungan sesama mereka akan terus naik dan suhu kepanasan bakal melonjakkan parti masing-masing yang akhirnya boleh menyebabkan mereka demam panas.
“Bayangkan tiga ‘warlord’ mereka yang tidak sealiran sudah tentunya akan mempertahankan parti masing-masing. Pas dengan ideologinya, PKR dengan pendiriannya dan DAP sudah tentulah dengan fahaman mereka. Jadi sudah tentu bahang kepanasan berkenaan akan terus ke pilihan raya.
“Kepada seluruh rakyat janganlah sesekali gadaikan nasib kita dan negara kepada mereka kerana sudah terang dan jelas hari ini nafsu mereka adalah kuasa semata-mata. Janganlah kita tertipu dengan gaya dan mainan politik yang hanya menjurus kepentingan parti masing-masing,” katanya. - Sumber MediaUMNO
Mai Pikiaq Pi: Bayangkanlah jika negara diperintah oleh tiga PM... Alamatnya Malaysia menjadi sebuah negara caca marba... Jadi pilihan semua di tangan rakyat... Pilihlah kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat dari dulu hingga kini, bukannya kerajaan bayangan yang belum tentu dapat memerintah dengan baik...

No comments:

Post a Comment