Nuffnang Ads

Monday, 30 April 2012

PEMIMPIN PEMBANGKANG, AMBIGA PERLU TANGGUNGJAWAB



Tinjauan dari udara menunjukkan para peserta perhimpunan Bersih 3.0 berkumpul di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, dengan diawasi oleh pihak polis, kelmarin. 

Pemimpin parti pembangkang dan Datuk S. Ambiga perlu dikenakan tindakan dan bertanggungjawab atas insiden keganasan di sekitar ibu negara semalam sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda awam serta kecederaan serius.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada perhimpunan haram Bersih itu, Ambiga yang merupakan Pengerusi Bersih ternyata gagal mengawal keadaan di Dataran Merdeka sehingga menyebabkan rusuhan dan kecederaan kepada anggota polis.

“Dalam kejadian semalam, Ambiga tidak dapat mengawal keadaan dan telah ‘diculik’ parti pembangkang. Kalau pembangkang kita tahu muslihat mereka, ini sebahagian rancangan menghadapi pilihan raya umum.

“Mereka mahu membentuk fikiran rakyat kononnya semuanya tidak betul supaya jika Barisan Nasional (BN) kekalkan kuasa mereka akan kata itu kemenangan yang palsu.


Sebahagian penunjuk perasaan bertempiaran lari selepas disembur dengan gas pemedih mata pada perhimpunan haram Bersih 3.0 di Dataran Merdeka. 

“Mereka mahu menimbulkan kemarahan rakyat dan membawa anak-anak muda mengadakan demonstrasi di jalan raya seperti berlaku di sesetengah negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Nasional Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pasukan polis telah menjalankan tugas dengan profesional serta menahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh dimanipulasi pembangkang.


Peserta perhimpunan haram, yang kononnya untuk menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil, bertindak liar dengan membaling objek dan menendang sebuah kenderaan polis di hadapan Pusat Membeli Belah Sogo. 

Bagaimanapun, beliau tidak akan terkejut sekiranya parti pembangkang tetap mencari pelbagai alasan untuk menyalahkan polis dan kerajaan.

“Mereka akan salahkan polis kononnya memulakan kekacauan atau gagal mengawal keadaan, tetapi dunia sudah terbuka dan kita boleh lihat video untuk tahu apa sebenar yang berlaku," katanya.

Mengenai individu-individu yang ditahan polis semasa perhimpunan haram itu pula, Muhyiddin berkata, mereka yang tidak bersalah tidak perlu takut akan dikenakan sebarang tindakan.


Sebuah khemah yang ditinggalkan oleh penyokong Bersih 3.0 di Jalan Lebuh Pasar.

No comments:

Post a Comment