Nuffnang Ads

Tuesday, 17 April 2012

Wanita UMNO Gesa Tindakan Tegas Terhadap Pemimpin Hina Raja


Wanita UMNO menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa mempersendakan Raja-raja Melayu semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mewakili pergerakan itu membantah penghinaan terhadap Raja-raja Melayu itu berkata, ia merupakan satu tindakan yang amat biadab dan jelas menunjukkan pemimpin pembangkang mempunyai jati diri yang sangat rendah sebagai rakyat Malaysia.
Shahrizat dalam satu kenyataan berkata, mereka tidak menghormati kedudukan Raja-raja Melayu seperti dinyatakan dalam Rukun Negara yang menjadi ikrar pegangan rakyat dan garis panduan dalam usaha membina negara dan bangsa Malaysia.
“Kami ahli Wanita UMNO selaku ibu dan pemimpin yang memperjuangkan kedaulatan bangsa dan agama amat kesal dengan isu penghinaan Raja-raja Melayu ini dan mendesak pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap yang terlibat atas keterlanjuran mereka menghina kedaulatan dan kedudukan Raja-raja yang menjadi tonggak kesepaduan rakyat Malaysia,” katanya.
Kenyataan beliau itu adalah sebagai mengulas dakwaan tersebut oleh seorang petugas perubatan pada majlis istiadat itu, Dr. Rahman Kadir menerusi laman sosial Facebook.
Sementara itu, anggota Parlimen pembangkang yang didakwa terlibat dilaporkan enggan menjawab secara jelas dakwaan itu atau setidak-tidaknya menafikan yang mereka terlibat dalam insiden itu.

No comments:

Post a Comment