Selepas banyak perbincangan, perdebatan dan kontroversi mengenai 'hak berkaitan seksual' berlaku di negara kita, saya sering menyoal diri, adakah ini semua berlaku semata-mata kerana mahu mencari kebebasan?
Apabila saya kaji penulisan dan hujah mengenainya, saya yakin bahawa ‘kebebasan’ adalah inti pati kepada ‘hak’ yang diperjuangkan ini. Sebenarnya saya cuba menahan diri daripada menyentuh perkara ini.
Saya sudah banyak memperkatakannya. Selain itu, saya perhatikan ramai yang bercakap mengenainya, terutama selepas kunjungan kontroversi Irshad Manji dan penerbitan serta sekatan ke atas bukunya.
Namun, saya tidak boleh nafikan kemahuan saya untuk terus berkata-kata mengenainya. Ada sedikit lagi penambahan yang perlu saya kongsi bersama pembaca. Perkara yang saya maksudkan ialah mengenai konsep ‘kebebasan diri dalam Islam’.
Saya perhatikan bagaimana kelompok yang menyokong dan memperjuang ‘hak’ yang saya sebutkan di atas mahukan ‘kebebasan’. Ada hujah yang menyatakan bahawa ia adalah urusan peribadi antara diri seseorang dengan Tuhannya.
Manusia lain tidak boleh mencampuri urusan ini. Ini menunjukkan mereka mahu bebas daripada orang lain.
Ada hujah juga yang menyatakan bahawa tuan milik badan adalah manusia itu sendiri. Maka dia berhak melakukan apa saja ke atas dirinya, hatta mengubah atau menukar jantinanya. Ini menunjukkan mereka mahu kebebasan daripada sifat fitrah kelahirannya.
Ada juga yang menghujah mengenai kesilapan dalam kejadiannya. Kenyataan sebegini seolah-olah meremehkan kekuasaan Allah dalam mencipta dan meletakkan fitrah atau naluri seksual ke dalam diri dan akal manusia.
Perbincangan falsafah mengenai istilah ‘kebebasan’ ini perlu dibawa ke hadapan untuk kita sama-sama fikirkan. Ironinya maksud ‘kebebasan hakiki’ secara falsafahnya masih belum begitu lantang diperkata kepada umum oleh orang Islam walaupun tulisan akademik dan perdebatan mengenainya sudah terlalu banyak. Malah ramai antara kita yang menuntutnya di bilik kuliah atau juga di madrasah.
Dalam konteks perundangan, maksud asal perkataan ‘kebebasan’ ialah kebebasan seorang manusia daripada manusia lain. Dalam kata lain, perkataan ‘kebebasan’ membawa maksud, kebebasan daripada perhambaan manusia.
Kebebasan yang dirujuk dalam perjuangan ‘hak berkaitan seksual’ ini bukanlah semata-mata kebebasan dalam maksud asalnya ini. Kebebasan yang diperjuang ini bukan kebebasan daripada perhambaan manusia, tetapi kebebasan daripada Tuhan penciptanya atau kebebasan daripada hukum alam atau alam fitrah – merangkum juga kebebasan untuk mengandaikan kelemahan Allah dalam menentukan fitrah manusia.
Mereka mahukan kebebasan tanpa sempadan sehingga alam fitrah dan kekuasaan Tuhan dipersoal. Kebebasan seperti ini menampakkan keegoan kelompok manusia ini. Mereka meletakkan hawa nafsu serta kemahuan kemanusiaan di tempat paling teratas.
Pada masa sama, mereka mengetepikan sifat mulia yang wujud dalam diri manusia. Mereka seterusnya mahu menonjolkan sifat yang bertentangan dengan sifat mulia itu.
Bagi ahli teologi Islam, hawa nafsu merujuk kepada kehendak keduniaan. Kehendak duniawi seperti ini akan memenjara, sekali gus menafikan kebebasan mereka. Seterusnya dapatlah kita simpulkan bahawa seseorang yang menghambakan dirinya kepada hawa nafsunya, sama ada nafsu seksual atau apa juga tuntutan dunia, adalah orang yang tidak bebas.
Kata Homer, seorang penyair epik Greek, ‘sesiapa yang mencintai wang dan harta, dia sebenarnya tidak mempunyai kebebasan’.
Sekiranya manusia itu dapat membebaskan diri daripada hawa nafsu, maka dia dinamakan sebagai manusia bebas. Sekiranya dia dapat melunturkan sifat egois terhadap Allah yang maha kuasa dan meletakkan sifat mulia manusia yang bijaksana dengan kawalan akal, manusia berkenaan akan benar-benar menjadi bebas. Dan inilah sebenarnya kebebasan hakiki. ‘Kebebasan’ melakukan apa juga perkara dengan mengikut hawa nafsu – tanpa seliaan akal dan kebijaksanaan serta keimanan kepada Allah – bukanlah kebebasan hakiki.
Untuk pengertian kita, dari segi positif kebebasan yang sebenar bermaksud manusia bebas daripada keegoan atau kebodohan diri. Kebebasan juga membawa maksud, manusia itu mempunyai kemahuan untuk menjadi bijaksana dan menyerah dirinya kepada Tuhan penciptanya.
Kebebasan bukan bermaksud manusia meletakkan kekuasaan kepada dirinya sendiri. Manusia yang tidak bijaksana dan tidak baik pada hakikatnya adalah manusia yang tidak bebas.
Kebebasan sebenar atau kebebasan hakiki ialah kebebasan yang disertai dengan kebijaksanaan dan keimanan. Sekiranya kita ditanya siapakah manusia yang bebas, jawapan perlu diberikan ialah manusia yang bebas ialah manusia yang berjaya mengawal diri dan bebas daripada kongkongan nafsunya sendiri.
Kebagusan dalam mengawal nafsu dan menjaga akhlak akan membentuk manusia yang bebas. Oleh itu, kebebasan adalah sifat manusia berakhlak. Setiap manusia yang bebas mempunyai akhlak mulia serta bijaksana. Sifat mulia yang dimaksudkan di sini bukanlah semata-mata mulia pada pandangan manusia, tetapi mulia di sisi Allah Yang Maha Kuasa. Tanpa akhlak yang mulia, pada hakikatnya, manusia itu tidak mengecap kebebasan hakiki. - Sumber BH
Mai Pikiaq Pi: Nafsu terhadap politik... bagaimana untuk mengatasinya?
No comments:
Post a Comment