Nuffnang Ads

Tuesday 12 June 2012

Formula BN ‘Boleh Menang’ Disokong Anggota Kompenan


Formula Barisan Nasional (BN) yang akan dilihat semula bagi memastikan pembahagian kerusi bagi pilihan raya akan datang dibuat berpaksikan kepada faktor ‘boleh menang’ seseorang calon adalah sesuatu yang wajar dan perlu dilakukan demi kebaikan seluruh anggota dalam kompenan BN.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan melihat ia adalah satu pandangan yang boleh diterima apatah lagi cadangan tersebut disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
“Tan Sri Muhyiddin bercakap adalah berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik dan pendekatan soal calon boleh menang perlu dilaksanakan dengan mendapat persetujuan daripada semua anggota kompenan BN apatah lagi umumnya persetujuan dilakukan secara bersama,” katanya di sini.
Semalam, Muhyiddin dalam ucapan semasa merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk Wilayah Persekutuan telah menekankan bahawa BN mesti menang dalam pilihan raya dan atas dasar itu katanya, jika fikir ada parti komponen memiliki calon yang dikatakan ‘winnable’ dan lebih mudah untuk menang jika diturunkan, maka calon itu boleh dipertaruhkan berbanding calon daripada parti yang sudah ditetapkan kerusinya sebelum ini di sesuatu kawasan.
“Untuk pilihan raya, apa yang penting adalah kemenangan BN yang menandakan kemenangan bersama anggota-anggota dalam kompenannya kerana pilihan raya ini bukanlah kemenangan individu atau membabitkan hanya sebuah parti sahaja,” katanya yang juga bekas Ketua Penerangan MIC.
Berdasarkan pendekatan tersebut, cara atau formula pembahagian kerusi yang digunakan sebelum ini akan dilihat semula bagi membolehkan calon yang mempunyai lebih peluang untuk menang dipertandingkan.
Pendekatan tersebut turut mendapat respon positif daripada Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Mohd Fadillah Yusof yang melihat dasar itu perlu dipersetujui.
“Pengundi-pengundi hari ini bukanlah melihat kepada parti yang dianggotai semata-mata tetapi dalam pilihan raya inilah mereka memilih calon yang bakal menjadi wakil rakyat kepada mereka. Maka tentunya daripada segi kesesuaian, perwatakan dan latar belakangnya menjadi satu penilaian penting,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya melihat formula bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah kepentingan bersama dalam BN khususnya diaplikasikan di kawasan-kawasan bandar yang mana para pengundinya menilai keseluruhan bermula daripada latar belakang parti hinggalah kepada kemampuan calonnya untuk melaksanakan tanggungjawab.
Mai Pikiaq Pi: Kalau MPP ada sokongan, MPP pun nak juga bertanding atas tiket BN....

No comments:

Post a Comment