Nuffnang Ads

Tuesday 19 June 2012

SOKONG PEMBANGKANG BERERTI SOKONG 5H



Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan mana-mana pihak yang menyokong pihak pakatan  pembangkang sebenarnya menyokong 5H iaitu Huru Hara, Haru Biru, Hantu Raya, Hina Dina dan Hancur Luluh.


“Mengapa saya katakan begitu? Ini disebabkan pihak pakatan pembangkang telah mencetuskan Huru Hara di negara ini dengan penganjuran perhimpunan Bersih bermula dari 1, 2 dan 3. Kerajaan mencadangkan empat tempat untuk mereka berhimpun termasuk Stadium Merdeka, namun mereka tetap mahu mengadakan demonstrasi jalanan.
“Mereka juga mengatakan bahawa Dataran Merdeka ialah Medan Tahrir mereka. Jelas apa yang berlaku, perhimpunan yang dikatakan akan berlangsung sebagai perhimpunan aman, akhirnya telah mencetuskan huru-hara yang telah melibatkan kecederaaan anggota penguat kuasa dan juga orang awam,” kata beliau ketika ditemui selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Penerangan UMNO Malaysia.
Manakala Haru Biru pula menurut beliau  adalah berdasarkan daripada perkembangan yang berlaku di dalam parti pakatan pembangkang terutamanya dalam PKR di mana ramai ahli-ahli biasa, mahupun yang berjawatan tinggi telah keluar meninggalkan parti tersebut.
“Macam PKR, ada 11 ahli yang berjawatan akhirnya meninggalkan parti tersebut. Biar saya senaraikan satu persatu. Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR telah meninggalkan parti. Dua Adun dari Perak, dua Adun dari Kedah dan satu Adun dari Selangor yang akhirnya menjadi Adun Bebas.
“Manakala, ada enam Ahli Parlimen mereka yang keluar daripada parti menjadi Bebas ialah dari Wangsa Maju,  Bagan Serai, Bayan Baru, Kulim Bandar Baru, Nibong Tebal dan Padang Serai. Bukan itu saja, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Penerangan, Setiausaha Agong juga turut keluar daripada PKR. Macam mana saya tidak kata bahawa mereka ini sebuah parti pakatan yang haru-biru,” ujarnya.
Selain itu, faktor yang ketiga pula ialah Hina Dina. Apa yang beliau maksudkan hina dina ini ialah ekoran pendirian para pemimpin pakatan pembangkang yang menyokong  Ambiga dalam isu-isu LBGT dan Seksualiti Merdeka.
“Begitu juga dengan kes-kes skandal seks seperti liwat dan sebagainya yang masih lagi tidak selesai  dan masih lagi dalam kes perbicaraan dan yang terbaru, pembongkaran video Timbalan Presiden PKR yang dikatakan terbabit dalam skandal seks yang juga masih belum dijawab,” jelas beliau.
Beliau juga turut menyelar sikap para pemimpin parti pakatan pembangkang yang sesuka hati mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun fatwa yang berubah-ubah, yang menimbulkan kekeliruan rakyat.
“Sikap mereka ini seperti Hantu Raya. Bercakap dengan tidak berfikir terlebih dulu. Bahkan mereka tergamak mengkritik dan menghina Sultan dengan cara yang biadab, minta ahli tangguhkan haji demi kepentingan politik. Memberikan fatwa yang berubah mengikut kepentingan politik mereka. Bagi saya sikap seperti ini seperti perangai hantu raya. Bebas dan sesuka hati untuk berbuat apa saja,” beritahu beliau lagi.
Manakala yang terahir ialah Hancur Luluh. Jelas beliau, pentadbiran pakatan pembangkang hari ini lebih banyak menuju kehancuran apabila prinsip perjuangan yang kabur dalam menentukan hala tuju negara terutamanya tentang Islam dan bangsa Melayu.
“Prinsip perjuangan pakatan pembangkang tidak jelas terutama  tentang hak-hak bangsa Melayu dan lain-lain, hak-hak agama Islam, kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu, dan kemasukkan dana asing yang menaja segala gerakan politik parti di dalam pakatan pembangkang.
“Daripada sudut penguasaan dan hirarki antara parti-parti itu juga kita kurang jelas,siapa sebenarnya yang menguasai dan siapa yang dikuasai, kita sendiri tidak jelas dan tidak tahu tentang perkara itu. Sebab itu saya mahu ingatkan bahawa, sesiapa yang memberikan sokongan terhadap pembangkang, maka secara tak langsung, mereka juga menyokong tentang 5H ini yang boleh mengganggu-gugat dan menghancurkan keamanan serta kemakmuran negara,” akhiri beliau. 
Mai Pikiaq Pi: Harap tak termasuk perangkap 5H... Nauzubillah!

No comments:

Post a Comment