Nuffnang Ads

Wednesday 6 June 2012

Lelaki Pukul Wartawan TV Al-Hijrah Didakwa


Seorang lelaki yang didakwa memukul dan menyebabkan kecederaan seorang wartawan stesen TV Al-Hijrah, Mohd Azri Mohd Salleh, 28, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 3.50 petang, 28 April lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Safuan Mamat@Nordin
Tertuduh, Mohd Safuan Mamat@Nordin, 25, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia yang diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak sebelum ini didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu merosakkan kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan sebuah kon dan mendatangkan kecederaan kepada Konstabel Mohamad Kamil Paiman.
Hakim Mahmud Abdullah menetapkan 4 hingga 7 September sebagai tarikh bicara untuk kes tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Rasah R. Tangam, seorang peguam, Rajesh Kumar Gejinder Nath, 45, dan Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Farhan Ibrahim@Alias, 29 juga turut didakwa hari ini.
Mereka didakwa menentang perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir dengan merusuh pada perhimpunan BERSIH 3.0, di Jalan Raja, 28 April lepas dan didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Tangam dibela oleh peguam Afiq M. Noor, Rajesh Kumar dibela oleh Rajpal Singh, manakala Farhan pula dibela oleh Shamsul Iskandar Mat Akin.
Hakim Mahmud Abdullah menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes mereka itu.

No comments:

Post a Comment