Nuffnang Ads

Friday, 8 June 2012

Pembekuan PTPTN UNISEL Uji Kemampuan Kerajaan Selangor Beri Pendidikan Percuma


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel) adalah untuk melihat kemampuan Kerajaan Selangor menyediakan pendidikan percuma di negeri itu.
Beliau berkata, tindakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipercayai untuk menguji kerajaan negeri yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperjuangkan penghapusan PTPTN kononnya untuk pendidikan percuma.
“Dia bercakap tanpa mengetahui apa yang dicakapkan.
“Sekali dia bercakap, sudah terkena batang hidung sendiri dan baru dia sedar bahawa apa yang dijanjikan adalah tidak betul. Baru dia sedar tetapi dia tidak pernah hendak mengaku kesilapan,” katanya ketika diminta mengulas laporan pembekuan PTPTN membabitkan pelajar baru Unisel.
Muhyiddin berkata demikian selepas majlis ramah mesra bersama warga Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Hulu Kelang di sini.
Unisel merupakan institusi pengajian tinggi yang dimiliki Kerajaan Selangor, yang kini diterajui PKR.
Muhyiddin berkata, dasar transformasi nasional yang direncanakan kerajaan dan galakan-galakan pelaburan dari dalam dan luar negara juga menunjukkan komitmen tinggi kerajaan untuk menganjak ekonomi Malaysia secara melipat ganda demi mencapai misi menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Bagaimanapun katanya, dalam keadaan ekonomi yang berkembang rancak, cabaran utama negara ialah untuk menjana sumber manusia atau modal insan yang terlatih dan berkemahiran untuk mengisi keperluan dalam sektor-sektor tertentu, yang mana Malaysia masih kekurangan.
Untuk itu, katanya kerajaan sentiasa menggalakkan usaha pelbagai pihak, termasuk projek Puncak (Perkasa Usaha Untuk Cipta Kejayaan) yang dirasmikan hari ini, yang bertujuan memberi latihan kemahiran kepada anak muda tempatan, dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
Projek Puncak anjuran bersama Yayasan Kepimpinan dan Strategi Malaysia (YKSM) dan Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) bermatlamat untuk menjana kerjaya dan masa depan yang lebih cemerlang untuk warga muda yang tercicir dalam akademik.
Muhyiddin berkata, bagi memperkasakan lagi usaha itu, institusi-institusi pengajian yang menawarkan program vokasional dan teknikal turut diperluas dan dinaik taraf untuk membolehkan mereka menawarkan pendidikan bertaraf diploma mulai tahun ini.
“Sekarang kira-kira 40,000 pelajar mengambil bidang ini (vokasional dan teknikal). Kita mahu jumlah itu dipertingkatkan kepada 80,000…dan selepas mendapat diploma, mereka boleh terus menyambung pengajian ke peringkat universiti dan seterusnya mendapat peluang pekerjaan yang lebih luas dengan kelulusan yang dimiliki,” katanya.
Semua itu, kata Muhyiddin membuktikan kesungguhan kerajaan BN untuk membela nasib rakyat dan merapatkan jurang ekonomi, terutamanya bagi anak-anak muda di negara ini.
“Dengan peluang-peluang yang disediakan ini tidak ada sebab mengapa anak anak muda Malaysia menganggur, tiada sebab mengapa mereka tiada pekerjaan, tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh menyara diri mereka dengan pendapatan mereka sendiri.
“Kita mahu bila dikatakan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020, dengan pendapatan tinggi, kita mahu pendapatan rakyat yang adil. Jangan ada sekelompok pendapatan terlalu tinggi dan ada sekelompok besar yang jauh tertinggal di bawah,” katanya sambil menyeru warga belia Gombak agar merebut peluang yang disediakan.

No comments:

Post a Comment