“Kalau dah pinjam, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membayarnya. Oleh itu, saranan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar para peminjam PTPTN agar tidak membayar hutang tersebut merupakan satu tindakan keji dan tidak bertanggungjawab”, demikian pandangan Pengerusi Persatuan Pemikir Muda (PPM) Wilayah Persekutuan, Izwany Abd Malek.
Justeru beliau menyifatkan desakan dan cadangan Anwar ini hanyalah satu retorik pihak pembangkang untuk mendapat undian dari kalangan anak muda khususnya golongan mahasiswa.
“Setakat ini, mereka yang telah meminjam PTPTN tidak pula mengeluh namun mereka mencadangkan agar faedah 1% yang dikenakan PTPTN dimansuhkan. Mereka juga faham, selepas menamatkan pengajian mereka dengan pinjaman PTPTN inilah, mereka dapat kerja dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Mampu meminjam untuk membeli kereta, beli rumah, bayaran-bayaran lain seperti ASTRO, Streamyx dan memberi duit belanja buat keluarga di kampung, jadi sepatutnya tidak menjadi halangan untuk membayar semula pinjaman PTPTN yang akhirnya akan digunakan oleh generasi yang akan datang untuk meneruskan pengajian mereka pula,” ujarnya mengulas kenyataan Anwar yang minta peminjam PTPTN untuk tidak membayar balik pinjaman mereka.
Dalam masa yang sama, beliau mempersoalkan siapa nak dipersalahkan kalau mereka tidak membayar yuran, jika nama disenarai-hitamkan institusi pengajian dan sebagainya.
“Adakah Anwar Ibrahim akan bertanggungjawab atau sekali lagi demonstrasi jalanan akan digunapakai untuk menyelamatkan pula mereka yang disenarai-hitam akibat tidak membayar pinjaman PTPTN tersebut”, soalnya lagi.
No comments:
Post a Comment