HARI ini bangsa Melayu menghadapi suasana politik yang jelas sekali berpecah-belah. Tiada tanda-tanda yang suasana politik berupaya mengembalikan perpaduan Melayu dalam tempoh terdekat, mahu pun dalam jangka masa sederhana. Tambahan pula dengan kaedah amalan demokrasi yang semakin bercorak politik pertarungan kalah-mati atau “zero-sum game” dalam perebutan kuasa pemerintahan.
Bangsa Melayu terpaksa menerima hakikat perpecahan politik berparti sebagai realiti hidup bermasyarakat dan berdemokrasi. Persoalan yang timbul dari realiti perpecahan ini ialah, sementara dipupuk semula perpaduan, apakah yang harus Melayu lakukan supaya mereka terus membina kekuatan ekonomi, tidak terlepas peluang bisnes dan melangsungkan kedudukan kuasa korporat untuk menjadi bangsa maju? Bagaimana boleh diperkasakan ekonomi Melayu dan umat Islam di Malaysia supaya mencapai taraf “Khalifah” dalam bisnes dan ekonomi satu hari nanti?
Dalam kata lain, bangsa Melayu wajib menggunakan kebijaksanaan dan segala hikmah untuk menentukan, di samping perbezaan dan perpecahan politik, supaya usaha membina kekuatan ekonomi Melayu tidak tergugat.
Bangsa Melayu mesti pandai melayari gelora dan badai politik yang memecah-belah ini untuk menentukan akhirnya perahu Melayu akan selamat sampai ke destinasi yang dituju. Mereka wajib menyusun semula strategi supaya “perahu” tidak karam dan mereka tidak terus ketinggalan sebagai bangsa yang “hanyut” ekonomi, tanpa arah dan tujuan.
Sesungguhnya ini boleh mereka lakukan. Negara-negara lain yang mengamalkan sistem perebutan kuasa pemerintahan berdemokrasi seperti ini juga kerap diancam ketidakstabilan dan perpecahan politik; namun tetap berupaya meningkatkan prestasi bisnes dan korporat hingga tinggi pencapaian ekonomi.
Jika diperhatikan, mereka semua bijak “menginstitusikan” kepentingan bisnes dan korporat supaya tidak dipolitikkan dan terdedah kepada sorong-tarik dan sepak-terajang politik berparti. Sekalipun politik bergolak ekonomi dan bisnes tetap mantap lagi perkasa. Bagaimana mereka lakukan semua ini?
Antara kaedah paling berkesan adalah menentukan kepentingan bisnes dan korporat tidak dipaksikan kepada kepentingan parti politik tertentu atau kepentingan peribadi pemimpin politik. Aktivis politik juga tidak dibenarkan menerajui syarikat dan memegang jawatan eksekutif korporat. Sekalipun terdapat hubungan, bisnes dan korporat dilekangkan dari politik, diurus secara berautonomi oleh pengurusan profesional dan berwibawa.
Dengan demikian tidak mudah berlaku tindakan cantas-mencantas yang diperhatikan kerap menjadi punca utama kemerosotan dan kemusnahan kepentingan bisnes dan korporat milik Melayu apabila terlalu dipolitikkan.
Selain politik cantas-mencantas menjadi antara faktor utama menyebabkan kemerosotan kepentingan bisnes dan ekonomi Melayu, kini terdapat satu lagi ancaman besar yang berpotensi memusnahkan langsung benteng ekonomi bangsa. Puncanya terbit setelah Melayu digesa supaya menciplak ideologi politik berteraskan liberalisasi ekonomi ala Barat.
Jelas sekali, dalam kita menciplak sistem politik demokrasi Barat, kita perlu waspada kesan dan impak yang kadang kala boleh memudaratkan. Justeru, bangsa Melayu juga perlu bijaksana dalam memilih ideologi politik, khasnya yang membawa impak negatif terhadap kepentingan ekonomi.
Hari ini terdapat gagasan politik liberalisasi ekonomi yang menuntut supaya syarikat berkaitan kerajaan atau GLC diswastakan. Ungkapan yang kerap dilaungkan ialah “government has no business to be in business - kerajaan tiada sebab untuk terbabit dalam bisnes.” Pada mereka yang mengibar bendera liberalisasi penglibatan kerajaan merosakkan pasaran.
Dasar memperjuangkan liberalisasi ekonomi ini tidak mahukan kerajaan terlibat, sekalipun untuk menyeimbangkan sistem, menegakkan keadilan ekonomi, merapatkan jurang kaya-miskin dan membela nasib rakyat termiskin. Justeru mereka lantang dengan menjadikan penswastaan sebagai agenda utama politik. Pada mereka semua GLC wajib segera diswastakan!
Sebenarnya tuduhan campur tangan kerajaan merosakkan pasaran, merendahkan keupayaan bersaing dan melemahkan ekonomi negara tidak lagi masuk akal. Kerana hari ini banyak contoh di mana kepimpinan ekonomi kerajaan dengan GLC di barisan depan pasaran, berupaya membina usaha dan memperkasa ekonomi. Contoh terbaik ialah Republik Rakyat China. Kepesatan ekonomi China telah berjaya menjadikannya ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Antara lain, ekonomi China dipacu GLC hingga mereka memiliki 80 peratus nilai pasaran modal (market capitalization) sahamsaham di Bursa China. Kini kaedah pendekatan China dengan peranan besar GLC dilihat sebagai berpotensi menjadi model alternatif kepada sistem kapitalis Barat. Sebaliknya negara besar Barat kelihatan giat meninjau semula ideologi kapitalisme amalan mereka selama ini setelah digugat krisis ekonomi.
Dalam menangani krisis kewangan dan beban hutang negara yang semakin mengancam kestabilan ekonomi masing-masing, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah banyak menggunakan kaedah campur tangan kerajaan dan kelihatan tidak ragu mengetepikan liberalisasi untuk mencari jalan keluar.
Tiba masanya Malaysia juga mengetepikan ketaksuban kepada ideologi liberalisasi ekonomi yang kuat dianjurkan oleh beberapa pihak tertentu. Sebaliknya, peranan strategik GLC membina ekonomi perlu diiktiraf dan diperkasa.
Di Malaysia, dalam kalangan syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia, syarikat GLC kini memiliki lebih 40 peratus daripada nilai pasaran modal. Syarikat PLC ini berperanan sebagai institusi amanah. Prestasi positif syarikat GLC ini tidak menjadi persoalan dan nyata sekali kerajaan semakin bijak menentukan supaya GLC tidak dipolitikkan untuk terus berupaya mengurus aktiviti bisnes mengikut kaedah pasaran.
Kesimpulannya, jelas sekali syarikat GLC Malaysia menyumbang kepada pertumbuhan nilai ekonomi negara. Mereka juga tidak merosakkan pasaran. Justeru, atas dasar apa harus mereka diswastakan seperti dituntut oleh puak liberalisasi?
GLC Malaysia juga telah diinspirasikan penubuhannya oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menyeimbangkan ekonomi dan merapatkan jurang kaya-miskin rakyat Malaysia. Ia juga menepati nilai Islam yang mengutamakan keadilan sosial dan ekonomi. Kenapa pula harus dirombak ideologi ekonomi yang sangat penting dan strategik dalam usaha menegakkan keadilan dan melindungi nasib golongan miskin yang dahagakan pembelaan?
Sebenarnya sebaliknya lebih wajar dilakukan. GLC berwibawa harus digalakkan memainkan peranan amanah yang lebih besar dan luas. GLC boleh dijadikan institusi teras (seumpama “guang xi” dalam masyarakat China dan “kieretsu” di kalangan Jepun), untuk membina jaringan bisnes PKS dan menggalakkan PKS bangkit ke depan bertumbuh dan membesar sehingga menerajui ekonomi negara dan memenuhi barisan jutawan dan bilionair negara masa depan.
Jangan swastakan GLC. Malah perhebatkan peranan mereka sebagai institusi amanah. Kerajaan juga harus lebih tegas menjamin autonomi mereka daripada dicerobohi kepentingan politik. Ini penting dalam konteks menghidupkan kembali semangat DEB dan menegakkan keadilan ekonomi negara. Ia juga penting dalam usaha umat Islam di Malaysia mengorak langkah memperkasa ekonomi sehingga satu hari nanti mencapai tahap “Khalifah” dalam bisnes dan ekonomi untuk kemakmuran dan kesejahteraan semua.
Mai Pikiaq Pi: Bangsa asing walau lain ideologi politik, namun mereka bersatu dalam bidang ekonomi...
No comments:
Post a Comment