Nuffnang Ads

Monday 4 June 2012

KONSEP MASYARAKAT SELAMAT PERLU

Pihak berkuasa perlu memperkenalkan konsep masyarakat selamat berikutan kebimbangan orang ramai terhadap isu keselamatan memandangkan kadar jenayah di negara ini masih serius.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata masyarakat selamat boleh didefinisikan sebagai tempat orang ramai tinggal, bekerja dan beriadah dengan selamat dan sihat.


“Selain memperbaiki kehidupan individu, masyarakat selamat dapat mewujudkan manfaat bersama antaranya jaminan keselamatan untuk orang ramai, mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan produktiviti serta persaingan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Lam Thye berkata, polis dan pihak berkuasa boleh melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan perlindungan lebih baik terutama kepada kanak-kanak dan orang awam secara amnya.

“Antara langkah adalah seperti rondaan kaki dan bermotor di kawasan berisiko tinggi, kerap mengadakan sesi dialog dengan penduduk dan pertubuhan perniagaan bagi kedua-dua pihak menyuarakan kebimbangan terhadap isu keselamatan serta mengadakan kempen pencegahan jenayah.


“Pihak berkuasa tempatan perlu mengenal pasti kawasan untuk dipasangkan kamera litar tertutup (CCTV) dan memberi perhatian terhadap pencahayaan yang baik di lorong dan simpang jalan yang gelap dan sunyi,” katanya.

Mengenai perlindungan ke atas kanak-kanak daripada perbuatan jenayah, Lam Thye berkata ini seharusnya dimulakan oleh ibu bapa kanak-kanak itu sendiri menerusi pendidikan dari rumah dan bukan mengharapkan tugas daripada pihak berkuasa yang berkenaan semata-mata. 

Beliau berkata sebagai langkah pencegahan awal, ibu bapa boleh mendidik anak bagaimana hendak melindungi diri mereka.

“Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa. Mereka perlu mendidik anak-anak mereka bagaimana untuk respons kepada sebarang situasi yang berbahaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment