Nuffnang Ads

Tuesday, 12 June 2012

Penjawat awam boleh guna Facebook dan Twitter beri kenyataan rasmi

Media sosial baru seperti Facebook dan Twitter boleh dijadikan medium mengeluarkan kenyataan rasmi kerajaan selagi perkara itu dinyatakan dengan spesifik.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, teknologi hari ini membuatkan pihak kerajaan mempunyai pelbagai pilihan untuk menyampaikan maklumat.

“Bagaimanapun, perkara itu perlu dinyatakan secara spesifik dan jelas bahawa apa yang disampaikan adalah kenyataan rasmi oleh pihak berkenaan.

“Namun, penggunaan medium baru seperti Twitter tidak boleh dijadikan dalam bentuk arahan jika cara pemberitahuan itu tidak sampai kepada siapa yang akan menerima dan melaksanakan arahan itu,” katanya.

Menurut Nik Ahmad, jika dahulu badan kerajaan mengirimkan kenyataan rasmi melalui faks, tetapi dengan kemudahan yang ada seperti e-mel dan Facebook kini telah menjadi medium baru mereka.

“Tidak menjadi kesalahan jika e-mel yang dihantar berbentuk rasmi daripada pihak tertinggi sesuatu badan itu dan ia akan menjadi satu kenyataan rasmi kerajaan.

“Bagi kenyataan di laman Facebook pula, kenyataan itu sebolehnya perlu melalui laman rasmi kementerian terbabit dan perlu menjelaskan ia adalah kenyataan rasmi agar orang ramai jelas dan tidak menyalahgunakan maklumat yang diterima,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang menteri di Twitter milik peribadi, Nik Ahmad berpendapat bahawa kebanyakan yang diungkapkan di Twitter adalah berbentuk pandangan.

“Apa yang dinyatakan itu bukan arahan, tetapi adalah komen mereka mengenai sesuatu perkara. Walaupun individu terbabit layak mengeluarkan arahan kepada pihak bawahannya, namun ia perlu dalam keadaan yang jelas dan memastikan apa yang diarahkan itu sampai kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada sesetengah situasi yang mana komen di Twitter seseorang menteri itu dijadikan kenyataan rasmi apabila dimainkan oleh media.

“Ada menteri yang selesa gunakan medium ini untuk menjawab kenyataan media, dan kebiasaannya media akan menggunakan kenyataan itu.

“Apabila apa yang ada di Twitter dan Facebook dilaporkan, kebiasaannya akan dianggap sebagai kenyataan rasmi,” katanya.



Mai Pikiaq Pi: Jangan salah gunakan medium maya ini untuk memfitnah pihak tertentu....

No comments:

Post a Comment