NGO mengingatkan pimpinan PR Selangor agar perlu sedar dan celik berhubung tujuan utama desakan penggunaan kalimah ALLAH dalam bahasa Melayu yang didalangi pemimpin DAP dan pendakwah Kristian.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, gesaan ini sewajarnya berupaya membuka mata dan minda pemimpin Melayu dan Islam dalam Dewan Undangan Negeri sama ada BN atau PR untuk tidak memperjudikan benteng pertahanan yang menjadi asas pembentukan negara.
“Umat Islam harus menilai perkara ini secara waras dan rasional mengapa mereka bertegas mahukan Bible versi bahasa Melayu dan Iban menggunakan kalimah ALLAH sekiranya bukan untuk disebarkan kepada orang Melayu dan Islam?
“Itu hak mereka nak ubah enakmen, mungkin dengan perubahan ini kuasa dan pengaruh Islam berjaya dikurangkan malah tidak mustahil dikeluarkan. Sekali gus menteri besar boleh dipilih di kalangan orang bukan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan berkata, merujuk Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), 77 peratus orang Melayu dan Islam tidak rela kalimah ALLAH digunakan penganut agama lain.
“Cadangan Adun DAP mahu meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 jelas tidak menghormati sentimen masyarakat dan tidak mustahil tindakan ini bakal ‘membunuh’ politik dalam PR.
“Gesaan ini jelas menunjukkan ideologi Kristian yang menyimpan agenda tersembunyi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mengklasifikasikan tindakan Adun DAP itu sebagai biadab kerana tidak menghormati fundamental kenegaraan negara kita.
“Orang Melayu, Islam perlu sedar mainan pendekatan prinsip DAP selamanya tidak pernah bersetuju dengan Perlembagaan Persekutuan, sebalik secara konsisten memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ iaitu hak sama rata untuk semua. Oleh yang demikian, kebiadaban ini perlu disanggah.
“Dalam konteks ini, sewajarnya harus hormat prinsip asas dan teras yang dipersetujui sejak kita merdeka,” katanya.
No comments:
Post a Comment