Nuffnang Ads

Tuesday 31 December 2013

Gunakan kuasa politik

SHAH ALAM – Kerajaan perlu menggunakan kuasa politik yang diamanahkan rakyat sebaiknya dalam mengawal kesan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, kerajaan juga perlu berani bertindak dalam membela hak rakyat yang semakin terbeban.

“Kalau kita ada kuasa,  gunakanlah kuasa dengan betul. ALLAH sayang. Kita kena buat, tidak boleh tinggalkan begitu sahaja, dengan kejutan demi kejutan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sedar dengan kuasa mereka sebagai pengguna.

Sementara itu, beliau menjangkakan terdapat 26 barang dan perkhidmatan yang mengalami kenaikan termasuk gaji pembantu rumah ekoran program rasionalisasi subsidi (SRP) yang dilaksanakan kerajaan.

“Semuanya bermula daripada satu keadaan, iaitu kenaikan harga bahan bakar.

"Jadi bila kos petrol dan diesel naik, mereka lebih mementingkan keuntungan saja. Mereka tidak pandang rakyat. Ini masalah yang berlaku,” katanya.

Dr Amir berkata, dakwaan subsidi tidak diperlukan pembangunan ekonomi negara adalah tidak berasas.

“Di Jerman dan Eropah, mereka juga memberikan subsidi kepada rakyat. Apa yang dibuat oleh kerajaan, dalam teorinya juga untuk rakyat.

“Rakyat yang beri wang untuk pemimpin, bukan pemimpin atau kerajaan itu cetak duit sendiri. Sebab itu rakyat marah pada kerajaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu mengambil mekanisme terbaik dalam mengawal kenaikan harga barang.

“Jika tidak, kesannya, kos hidup akan terus naik dan rakyat semakin terbeban,” katanya.

No comments:

Post a Comment