Nuffnang Ads

Tuesday, 31 December 2013

Jangan politikkan keikhlasan kerajaan

Pihak tertentu diingatkan supaya tidak mempolitikkan keikhlasan kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam menerusi 11 inisiatif langkah penjimatan yang diumumkan kerajaan.

Ahli Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon berkata, 11 inisiatif itu termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuat kuasa Januari 2014 itu dipersetujui sebulat suara dalam kabinet.

Menurutnya, selaku rakyat yang taat setia dan sayangkan negara, pemotongan elaun keraian itu tidak menjejaskan apa-apa jua pelan pembangunan rakyat, malah perkhidmatan kepada rakyat akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Saya harap tidak akan ada isu-isu yang mempolitikkan keikhlasan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban rakyat kerana kita buat (laksanakan) semua ini semata-mata demi cinta kita kepada negara dan (memupuk) semangat negarawan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai 11 langkah penjimatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.

Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, kerajaan amat memahami beban kenaikan kos sara hidup dan sentiasa memandang serius perkara itu termasuk meminta persatuan peniaga supaya tidak menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya.

“Tidak semua harga barang dikawal kerajaan, sebaliknya peniaga mempunyai kuasa untuk menstabilkan harga barangan dan kita harap mereka tidak mengambil kesempatan kononnya berlaku kenaikan taraf hidup, maka harga barang pun akan dinaikkan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pemantauan berterusan daripada agensi penguatkuasaan kerajaan bertanggungjawab perlu dijalankan bagi memastikan peniaga menjual pada harga munasabah dan tidak terus menekan pengguna.

“Dalam hal ini, kita minta supaya peniaga itu sendiri mengawal harga barang kerana mereka mempunyai kuasa dalam menentukan harga, jadi adalah tidak wajar jika rakyat terus menyalahkan kerajaan.

“Namun, kerajaan akan terus mencari kaedah dan penyelesaian terbaik menangani hal ini. Tapi tindakan pihak tertentu mengadakan demonstrasi jalanan dan sebagainya dianggap tidak matang terutama ketika rakyat ingin menyambut ketibaan tahun baharu,” katanya.

No comments:

Post a Comment