Nuffnang Ads

Tuesday, 31 December 2013

Isu rebat samar, belum rasmi

Isu pemansuhan rebat Touch n’ Go masih samar berikutan kerajaan masih belum memberikan jawapan rasmi berhubung pemansuhan rebat tersebut.

Keputusan kerajaan ini terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna mengenai tempoh sah penebusan rebat tersebut sama ada ianya akan diteruskan atau tidak.

Tinjauan bagi mendapatkan kepastian berhubung isu ini menerima jawapan berbeza daripada pegawai yang bertugas.

Maklum balas yang diterima daripada ibu pejabat Touch n’ Go memaklumkan rebat tersebut telah dimansuhkan pada 31 Disember 2013.

“Setahu saya rebat tersebut telah pun dimansuhkan pada 31 Disember. Itu arahan yang saya dengar daripada pihak atasan.” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jurucakap tersebut bagaimanapun, meminta kami menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan Touch n' Go untuk maklumat lanjut.

Selain itu tinjauan ke beberapa pejabat tol sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam mendapati, orang ramai masih terus menebus rebat tersebut di kaunter plaza tol.

Pegawai kaunter Touch n' Go yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka belum menerima sebarang arahan untuk memberhentikan rebat 20 peratus tersebut.

“Orang ramai masih boleh menebus rebat tersebut setiap bulan. Walaupun terdapat khabar angin mengatakan rebat akan dimansuhkan pada akhir tahun 2013 namun, masih ramai yang datang menebus rebat tersebut." katanya.

Usaha kami menghubungi talian khidmat pelanggan Touch n' Go juga mendapat maklum balas yang sama.

Menurut jurucakap Touch n' Go, rebat tersebut masih diteruskan dan tiada tarikh khusus pemansuhan seperti yang dilaporkan berakhir Jun 2014 ini.

“Rebat masih berjalan seperti biasa. Orang ramai boleh datang menebus rebat tersebut setiap bulan." katanya.

Menurutnya, pengguna masih terkeliru dengan terma pemberian rebat tersebut kerana tiada pengumuman rasmi oleh kerajaan untuk menjelaskan tentang situasi sebenar rebat ini.

“Rebat boleh dituntut untuk 80 kali penggunaan setiap bulan dan rebat tersebut tidak boleh dibawa ke bulan hadapan," katanya

Difahamkan, dakwaan yang mengatakan rebat Touch n' Go dimansuhkan itu bermaksud mulai 1 Januari pengguna yang menggunakan kad tersebut tidak lagi boleh membuat sebarang penebusan.

Jika ada pengguna yang boleh membuat penebusan rebat, ini bermaksud nilai dalam kad tersebut adalah nilai yang digunakan pada 2013 dan bukannya 2014.

No comments:

Post a Comment