Nuffnang Ads

Tuesday 31 December 2013

Petronas tidak abaikan syarikat Bumiputera


Petronas tidak abaikan syarikat Bumiputera

Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) menyifatkan dakwaan syarikat-syarikat Bumiputera telah diabaikan atau diketepikan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) adalah tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, dakwaan seumpama itu sebagai provokasi semata-mata daripada mereka yang tidak faham bagaimana industri itu dilaksana.

Presiden MOGSC, Sofiyan Yahya berkata, persepsi itu juga amat menjengkelkan kerana ia seolah-olah menafikan penyertaan Bumiputera dalam industri penyumbang terbesar kepada pendapatan Malaysia itu.

Katanya, Petronas telah menyatakan dengan jelas syarat yang syarikat perlu memenuhi pegangan kepentingan Bumiputera tertentu sebelum sebarang lesen diluluskan.

Katanya, pemegang kepentingan itu pelbagai dalam setiap bidang kerja, dengan minimum 30 peratus penyertaan Bumiputera sehinggalah ke 100 peratus.

“Komuniti Bumiputera mempunyai penyertaan sihat dalam industri minyak dan gas (O&G) dan ramai dalam kalangan kami turut serta. Sehubungan itu, adalah tidak wajar untuk memperkecilkan sumbangan Bumiputera dalam sektor ini. Tiada industri O&G Malaysia tanpa peserta Bumiputera,” katanya.

Sofiyan berkata, MOGSC sebagai wakil terbesar peserta O&G di Malaysia, telah tampil untuk mewakili suara industri di celah-celah laporan negatif baru-baru ini mengatakan syarikat Bumiputera telah diketepikan dari segi pemberian projek oleh Petronas.

Kataya, selain daripada penyertaan Bumiputera, syarikat yang memohon lesen daripada Petronas juga perlu faham mengenai industri, kepakaran, integriti, profesionalisme dan kompetensi.

“Malah, selepas mendapatkan lesen, syarikat-syarikat yang mahukan kontrak daripada Petronas mesti lalui proses pembidaan. Ada syarikat yang tidak mahu membida (tender) kerana merasakan lesen oleh Petronas itu seperti hak untuk dapat kontrak.

“Kebanyakan syarikat yang nak masuk bidang minyak dan gas tak faham caranya. Ada cara-caranya dan Petronas amat telus,” katanya.

Sofiyan berkata, untuk mereka yang berminat menceburi industri O&G, Petronas turut menyediakan platform dipanggil “program pembangunan vendor”, khusus bagi bantu syarikat Bumiputera mendapatkan kepakaran dalam bidang yang diidamkan.

No comments:

Post a Comment