Nuffnang Ads

Tuesday, 31 December 2013

Celaru, keliru pendirian Kerajaan Selangor

Seorang ahli akademik, Prof. Dr. Mohd Fuad Mat Jali meminta pimpinan Kerajaan negeri Selangor dan juga pimpinan Pas negeri itu menyatakan pendirian yang jelas berhubung isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap sebuah gereja baru-baru ini.
Menurut beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang geopolitik, kerajaan negeri dan pimpinan Pas negeri Selangor perlu membuat satu kenyataan rasmi agar rakyat di Selangor jelas apa pendirian kerajaan negeri berhubung isu tersebut.
“Saya secara peribadi berpendapat kerajaan negeri, yang dipimpin oleh umat Islam sepatutnya tidak mengkritik tindakan JAIS, sebaliknya menyokong tindakan tersebut kerana ia dilakukan berdasarkan undang-undang negeri yang telah termaktub.
“Namun, sehingga hari ini, tidak ada sebarang pendirian rasmi kerajaan berhubung soal tersebut. Justeru itu,  kerajaan negeri serta pimpinan Pas negeri perlu nyatakan pendirian mereka tentang soal ini. Jangan samar-samar dan berdolak dalik. Rakyat, khususnya umat Islam di Selangor tertunggu-tunggu apa sebenarnya pendirian mereka.
khalid-ibrahim-mb-menteri-besar-selangor-ikut-telunjuk-anwar
“Hari ini rakyat sendiri keliru apa sebenarnya pendirian kerajaan negeri tentang perkara ini. Sedangkan serbuan tersebut bukanlah dibuat sesuka hati, tetapi berdasarkan undang-undang. Malah Sultan Selangor sendiri telah bertitah dalam soal kalimah Allah ini,” jelasnya di sini hari ini.
Beliau seterusnya meminta agar pimpinan Pas negeri meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan politik kepartian. dan janganlah kerana kepentingan politik, maka mereka mendiamkan diri.
“Pas kena nyatakan pendirian. Apakah mereka menyokong atau menentangkan tindakan JAIS terhadap gereja tersebut. Sebagai sebuah parti politik Islam, bagi saya Pas tidak sepatutnya meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan agama.
Mereka kena nyatakan pendirian sejelas-jelasnya dalam soal ini. Dan janganlah kerana kepentingan politik, maka mereka mendiamkan diri,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut meminta Lawrence Andrew, sebagai seorang agamawan dalam agama Kristian agar akur dengan keputusan mahkamah serta menghormati titah Sultan Selangor sebagai ketua negeri.
“Saya rasa, Lawrence sebagai seorang agamawan, perlu menghormati udang-undang dan titah Sultan. Apa yang dilakukan oleh beliau hari ini seolah-olah memperlihatkan beliau tidak ada rasa hormat terhadap undang-undang serta keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Sebagai seorang agamawan, beliau seharusnya berfikiran lebih rasional dalam menangani soal ini. Beliau mesti berfikir, apakah tindakannya itu akan memberikan impak yang besar terhadap keharmonian beragama yang sejak sekian lama berlansung dalam keadaan yang aman dan harmoni di negara ini,” ujarnya.
Beliau juga meminta agar isu sensitiviti agama seperti ini tidak dijadikan bahan politik serta digembar-gemburkan kerana sekiranya ia berlarutan, dibimbangi akan berlaku perkara-perkara yang buruk dan boleh menjejaskan keharmonian beragama di negara ini.
“Apa yang kita bimbang, jika ada pihak luar yang cuba mengambil kesempatan dalam hal ini. Kita bimbang ada tangan-tangan luar yang cuba mencetuskan provokasi sehingga boleh terjadi pergaduhan dan sebagainya.
“ Jika ini berlaku, ia akan menimbulkan fitnah besar dan boleh menyebabkan keadaan negara yang sejak sekian lama berada dalam keadaan aman bertukar menjadi sebaliknya,” katanya. 

No comments:

Post a Comment