Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setiap isu yang berbangkit dari semasa ke semasa perlu ditangani dengan lebih matang dan tenang berdasarkan penyelesaian berasaskan kepada peraturan undang-undang dan pendekatan dialog dengan semua pihak.
Najib berkata apabila semua pihak dapat duduk semeja untuk berbincang mencari penyelesaian, beliau percaya ia dapat mengurangkan sebarang ketegangan yang timbul daripada apa jua isu yang berbangkit.
"Jadi bila ada sasuatu isu yang berbangkit, kita harus tanganinya bukan dengan perasaan dan emosi, tetapi kematangan dan ketenangan," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang disegani dan dikagumi ramai kerana keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaumnya, perlu memberi perhatian terhadap perkara itu supaya tidak timbul isu-isu sehingga boleh menggugat keharmonian.
"Tak ada gunanya kalau kita berbangga dengan kejayaan kita selama ini, jika salah satu tiang seri kita ini, kita biar hancur lebur, bermakna segala yang kita bina selama ini tidak bererti sama sekali," katanya.
Dalam ucapan pada perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri tahun ini, Najib turut menyentuh soal kesungguhan negara untuk melaksanakan agenda-agenda yang digariskan dalam Dasar Transformasi Negara.
Beliau berkata, ramai yang melihat tahun 2014 sebagai tahun yang cukup mencabar yang menuntut banyak negara melakukan perubahan terhadap struktur dasar ekonomi masing-masing.
"Pada hemat saya, mana-mana negara yang sanggup melakukan reforms kepada ekonomi dari segi struktur, dasar yang lebih tepat yang dikemas kini dari semasa ke semasa, maka negara itulah yang akan dapat melihat pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan," katanya.
Najib berkata, sebab itulah Dasar Transformasi Negara akan terus diusahakan dengan gigih tahun ini untuk mencapai matlamat status negara maju memandangkan tempoh untuk mencapai matlamat itu semakin pendek.
Bagaimanapun menurutnya apa jua dasar yang dilaksanakan, negara tidak pernah mengenepikan soal kesejahteraan rakyat.
"... umpamanya rasionalisasi subsidi, ia bukan bermakna kita hapus subsidi secara mengejut. Tidak ada negara dalam dunia di mana peruntukan pembangunan berjumlah RM49 bilion, manakala subsidi dan insentif berjumlah RM42 bilion," katanya.
"Kadar ini dalam satu segi mencerminkan kerajaan memang prihatin kepada beban rakyat, tapi keadaan seperti ini tidak boleh kita teruskan sebab ia tidak 'sustainable'. Cuma cara kita kurangkan subsidi ini, mesti dilaksanakan secara berperingkat, mana yang boleh kita lakukan bagi menolong pelbagai golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah, kita mesti lakukan," katanya.
Najib berkata beliau yakin sekiranya ekonomi bertambah kukuh dan hasil negara bertambah mantap, maka projek-projek pembangunan boleh ditambah, dan segala kemudahan serta kebajikan pelbagai golongan, termasuk penjawat awam, boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa.
"Tapi ini semua mesti berasaskan kepada ekonomi yang semakin kukuh dan semakin mentap. Ini yang saya nak jelaskan," katanya.
Najib berkata, aku janji semasa pilihan raya juga tidak pernah dilupakan, termasuk hasrat menentukan peningkatan kesejahteraan rakyat, ekonomi negara yang tumbuh pada kadar lima peratus atau lebih, pembaharuan ekonomi yang bersifat strategik dan pembangunan modal insan, yang merupakan satu daripada faktor penting dalam usaha mencapai status negara maju.
No comments:
Post a Comment