Pembangkang dilihat akan meneruskan pendekatan politik kebencian dengan memanipulasikan fakta dan isu bagi mewujudkan persepsi di kalangan rakyat bahawa kerajaan yang ada hari ini gagal menjaga dan membela rakyat di negara ini, demikian jelas seorang penganalisa politik, Prof Madya Dr. Hanafiah Harun.
Menurut beliau yang juga pensyarah Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), pembangkang hari ini dilihat begitu aktif memainkan isu-isu contohnya terkini isu kenaikan harga dan sistem percukaian GST, dengan memberikan fakta-fakta yang tidak tepat kepada rakyat.
“Inilah kecekapan pembangkang. Mereka memanipulasikan pemikiran rakyat di dalam kekalutan maklumat dan fakta yang berlaku hari ini.
“Contohnya, di mana-mana ceramah pembangkang, mereka tekankan bahawa GST adalah sistem yang menekan rakyat. Mereka wujudkan gambaran, bahawa GST akan membuatkan rakyat bertambah susah, sedangkan hakikatnya rakyat terbanyak tidak akan terjejas dengan sistem percukaian ini,” ujarnya di sini hari ini.
Tambah beliau, gerakan pembangkang ini berjaya lantaran ramai di antara rakyat di negara ini sebenarnya tidak faham dan tidak tahu tentang fakta sebenar sesuatu isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.
“Bagi saya, pembangkang berjaya memanipulasikan fakta dan pemikiran rakyat sehingga rakyat menjadi keliru, seterusnya mewujudkan persepsi bahawa kerajaan hari ini zalim dan menekan rakyat.
“Mereka mengunakan emosi dan sentimen kebencian sebagai senjata utama mereka, kerana faktor emosi, tekanan persekitaran serta kehidupan sememangnya cukup berkesan untuk membuatkan rakyat mula merasa benci dan hilang kepercayaan kepada kerajaan,” ujarnya.
Justeru itu, beliau mencadangkan agar penerangan secara menyeluruh tentang isu-isu semasa, terutamanya berkaitan dengan kos sara hidup dan GST perlu diadakan dengan lebih aggressif oleh agensi kerajaan.
“Kalau boleh, saya cadangkan agar libatkan juga golongan profesional dan tokoh-tokoh akademik yang tidak ada bayang parti politik di belakang mereka. Contohnya seperti guru-guru dan pegawai kerajaan, yang merupakan institusi yang dipercayai oleh masyarakat, terutama di luar bandar.
“Jika kita menggunakan sepenuhnya ahli politik untuk menerangkan isu, saya lihat agak sukar kerana pertamanya, kepercayaan rakyat terhadap kata-kata ahli politik semakin berkurangan. Keduanya, ada di antara ahli politik, bahkan ada di kalangan menteri sendiri tidak berapa faham dan jelas tentang perkara ini,” katanya.
Beliau seterusnya menegaskan, bahawa kerajaan perlu lakukan sesuatu bagi mengatasi manipulasi yang dilakukan oleh pembangkang bagi mengelakkan rakyat menganggap segala dakwaan mereka itu benar belaka.
“Usaha penerangan baik daripada agensi kerajaan yang terbabit hari ini perlu lebih aggresif dan mencecah sehingga ke peringkat akar umbi pada pelbagai lapisan masyarakat.
“Jika tidak, dibimbangi persepsi negatif yang disemaikan oleh pembangkang pada pemikiran rakyat akan terus melekat, dan jika ini berlaku, sudah tentu agak sukar untuk kita menerangkan kembali perkara yang sebenar kepada rakyat,” akhirinya.
No comments:
Post a Comment