Nuffnang Ads

Tuesday, 31 December 2013

Lulus Hard Rock Cafe jika ikut konsep Islam


Hard Rock Cafe

Permohonan untuk membuka cawangan Hard Rock Cafe di sini hanya diluluskan jika ia mematuhi syarat-syarat ditetapkan termasuk tiada penjualan minuman keras dan menampilkan persembahan hiburan yang berlandaskan Islam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia bagi memastikan imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Islam terus dipelihara.

"Kita ada garis panduan, dan kita akur pada garis panduan ini. Kita nak Putrajaya menjadi bandar yang lestari, ceria dan bandar yang menjadi contoh kepada seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tengku Adnan mengulas kemunkinan pengusaha Hard Rock Cafe membuka cawangan itu di sini berikutan perkongsian Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat mengenai perjumpaan beliau dengan pelabur Hard Rock Cafe di negara ini, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, dalam laman sosial Facebook.

Aseh bagaimanapun menjelaskan tiada permohonan rasmi dibuat mengenainya, malah Hard Rock International turut menafikan mahu membuka cawangannya di Putrajaya.

Tengku Adnan berkata sebelum ini, rangkaian kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven yang membuka cawangannya di sini, telah mematuhi syarat-syarat itu dengan menjadi kedai pertama tidak menjual minuman keras di negara ini.

Beliau berkata banyak lagi pengusaha jenama terkenal lain termasuk pengusaha taman tema dan hospital swasta berminat membuka cawangan di Putrajaya, dan setiap permohonan itu akan dipastikan mematuhi syarat sebelum diluluskan.

"Kita tidak mahu menolak hasrat (para pelabur), tetapi kita akan memberitahu mereka syarat-syarat kita. Beliau (Aseh) melakukan perkara betul dengan berbincang dengan pelabur kerana kita mahu mereka melabur di Putrajaya. Kita tidak boleh harapkan kerajaan sahaja melabur pada setiap masa," katanya ketika ditanya mengenai perjumpaan Aseh dengan Syed Yusof.

Sambil meminta rakyat supaya tidak gelisah dengan perkara itu, beliau menyelar pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menimbulkan spekulasi mengenainya.

"Tolonglah jangan putar belitkan (perkara ini)...ia tidak wajar langsung. Saya sedih melihat apa yang berlaku, dan ini akan membentuk generasi masa depan Malaysia. Kita tidak mahu mereka menjadi seperti orang Barat. Kita mahu mereka mempunyai nilai-nilai Timur," katanya.

No comments:

Post a Comment