Pelbagai isu yang menimbulkan keresahan mula berlegar sejak kebelakangan ini yang berlarutan silih berganti seakan ada pihak yang sengaja mengambil tindakan negatif untuk merosakkan keharmonian negara ini, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pasir Salak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin.
Katanya, sewajarnya kedatangan tahun baru 2014 menjadi azam kepada masyarakat keseluruhannya untuk sama-sama memperkukuh perpaduan dan memelihara kesejahteraan negara tanpa ada muslihat sebaliknya.
“Seakan terdapat satu perancangan dari pihak tidak bertanggungjawab terhadap kerajaan hari ini apabila terdapat satu demi satu insiden yang membabitkan isu-isu sensitif ditaburkan kepada khalayak walhal sewajarnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab maka tentunya tahu apa-apa perkara yang boleh menggangu gugat ketenteraman.
“Tidak kurang juga terdapat insiden yang didalangi oleh pembangkang sama ada secara terang atau berlindung di sebalik agensi tertentu misalnya badan NGO atau pihak tertentu sebagaimana himpunan ambang tahun baru yang mempunyai niat untuk menggulingkan kerajaan,” katanya.
Katanya, barangkali tindakan sedemikian dibuat oleh pihak terbabit lantaran gagal untuk menguasai kerajaan dan menumbangkang Barisan Nasional melalui pilihan raya yang diadakan.
“Tindakan memburuk-burukkan keadaan, memperbesar-besarkan sesuatu isu dan memanipulasikan perkara-perkara tertentu menjadi salah satu cara pihak terbabit untuk mewujudkan suasana tidak tenang, rasa tidak puas hati di kalangan rakyat dan menimbulkan keresahan pada semua pihak.
“Tindakan negatif sedemikian secara simboliknya amat sinonim dengan pakatan pembangkang yang secara jelas amat gemar menggunakan politik murahan untuk memburuk-burukkan kerajaan BN dan mencari populariti dalam kepimpinan mereka.”
Tegasnya, apabila pakatan pembangkang gagal mendapatkan kuasa melalui demokrasi dalam beberapa pilihan raya umum yang lalu maka mereka cenderung untuk berbuat pelbagai perkara negatif dengan harapan agar berlaku kacau-bilau dan demonstrasi dilaksanakan untuk menumbangkang kerajaan yang ada.
“Apabila mereka sedar bahawa mereka tidak akan mendapat kuasa melalui demonstrasi maka mereka menggerakkan rakyat dengan tohmahan negatif misalnya menggunakan isu kenaikan harga barang, penggunaan kalimah Allah dan juga hal-hal perbezaan antara kaum.
“Ini adalah satu tindakan yang amat berbahaya kerana ia boleh mengundang padah yang akan membawa huru-hara dan kehancuran dalam negara sedangkan kita mempunyai platform jelas sebagai saluran untuk rakyat,” jelasnya.
Terang beliau lagi, apabila ada rasa tidak puas hati dan mahu menyuarakan pandangan untuk kepentingan bersama maka sewajarnya setiap individu mempunyai pertimbangan dan memikirkan kepentingan bersama.
“Ada banyak persatuan-persatuan, badan-badan NGO dan macam-macam lagi termasuklah wakil rakyat tempatan yang boleh mereka gunakan sebagai cara untuk melahirkan desakan dan meluahkan rasa tidak puas hati melalui memorandum atau petisyen tanpa perlu mengganggu gugat ketenteraman dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
“Sebagai masyarakat yang mempunyai nilai-nilai ketimuran dan menuju negara maju, kita perlulah menggunakan pendekatan yang lebih berhemah, melalui perbincangan, bermasyarakat, dalam ruang yang tertutup dan bukannya mewujudkan perasaan benci atau menyiram api perkauman yang tentunya sangat bahaya.”
Tegas beliau, rakyat perlu sedar dengan apa yang berlaku dan pendedahan berkaitan politik murahan segelintir pihak perlu terus dihebahkan.
“Kita lihat sebelum ini bagaimana rakyat dipergunakan oleh pihak tertentu misalnya melalui demonstrasi jalanan sehinggakan rakyat sanggup berbuat apa sahaja termasuklah bertindak menentang undang-undang sedangkan dalam masa yang sama di kalangan pemimpin pembangkang ada yang menambah bilangan kereta mewah selain bercuti ke luar negara.”
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat keseluruhan untuk sentiasa meningkatkan usaha bersama-sama kerajaan demi keharmonian dengan kerajaan sendiri pula sentiasa berusaha menangani setiap permasalahan rakyat dengan baik.
No comments:
Post a Comment