Kerajaan Sarawak bersiap siaga sepenuhnya dalam menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku di beberapa bahagian negeri ini sehingga Hari Chap Goh Mei, pada 14 Februari depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, kesemua agensi yang terlibat akan sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk membuka semula pusat-pusat pemindahan banjir yang ditutup.
“Keadaan cuaca di Sarawak semakin baik namun kita masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan lebat masih turun di beberapa bahagian walaupun tidak berterusan.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Awam negeri sentiasa memastikan bekalan makanan dan keperluan asas berada dalam kuantiti yang mencukupi kerana bimbang banjir sekali lagi,” katanya dalam sidang akhbar di sini Selasa.
Sementara itu, Fatimah berkata sehingga hari ini hanya dua pusat pemindahan banjir yang masih dibuka iaitu di Dewan Masyarakat Bakong, Miri dan Dewan Sukan Tatau, Bintulu.
“Sehingga pukul 9 pagi ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM233,285 untuk kos makanan kering untuk keperluan mangsa-mangsa banjir,” katanya.
No comments:
Post a Comment