Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKA-PATI) hari ini memutuskan supaya semua restoran berkonsep makanan segera tidak dibenarkan menggaji pekerja asing.
Mesyuarat Urus Setia JKKA-PATI yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini menyatakan keputusan itu dibuat bagi memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk mengisi pekerjaan itu.
“Kerajaan memandang serius perkara ini. Pengusaha restoran berkonsepkan `fast food' disaran mengambil dan menggaji pekerja tempatan memandangkan masih ramai lagi warga tempatan yang berminat bekerja di restoran itu," kata Urus Setia JKKA-PATI dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat ke-11 Bil 1/2014 itu.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hasan Malek; Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Karim dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Unggah Embas.
JKKA-PATI menyatakan kemahiran memasak di restoran makanan segera tidak tinggi atau sukar berbanding restoran biasa, yang menghidangkan pelbagai jenis makanan dan masakan kerana kaedah penyediaannya mudah dipelajari melalui latihan.
Oleh itu, bidang pekerjaan di restoran makanan segera menjadi pilihan dan tarikan warga tempatan terutamanya golongan muda, pelajar lepasan sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk mendapat pendedahan dan sumber pendapatan sama ada bekerja secara separuh atau sepenuh masa.
JKKA-PATI turut memutuskan untuk memanjangkan mekanisme Kerajaan kepada Kerajaan antara Malaysia dan Bangladesh yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia untuk diguna pakai kerajaan negeri Sarawak bagi mengisi kekosongan dalam sektor perladangan sawit.
Kaedah kawalan kemasukan, tapisan keselamatan dan saringan kesihatan yang dijalankan kedua-dua negara dilihat sistematik dan mampu menangani masalah berhubung penggajian pekerja asing.
JKKA-PATI juga menyatakan Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) yang dilaksanakan di Pusat Kelulusan Setempat (OSC) Kementerian Dalam Negeri akan tamat pada 20 Januari ini.
Justeru itu, ia mengingatkan majikan yang mendakwa ditipu oleh ejen atau orang tengah semasa Program 6P (pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran) lepas supaya datang ke OSC untuk membolehkan permohonan mereka diteliti sebelum tamat PKPP.
“Majikan diharap hadir lebih awal di OSC bagi mengelak kesulitan.
Setelah tamatnya program ini, aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan lebih tegas dan berterusan demi keselamatan dan kententeraman awam," kata Urus Setia JKKA-PATI.
No comments:
Post a Comment