Nuffnang Ads

Tuesday 31 December 2013

Naik harga: Bukan salah peniaga sepenuhnya

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah menyifatkan tidak wajar sekiranya golongan peniaga dipersalahkan sepenuhnya di atas kenaikan harga barangan di pasaran.

Menurutnya, golongan itu juga terpaksa berhadapan dengan pihak pembekal yang menaikkan harga barangan susulan daripada pengumuman pihak kerajaan berkaitan dengan kenaikan dan pemansuhan subsidi tertentu.

Katanya, peniaga perlu menaikkan harga untuk menampung kos perniagaan mereka.   

“… bagi saya isu kenaikan harga barang ini bukan salah peniaga seratus peratus.

"Ini kerana bagi saya faktor utama kenaikan harga barang tersebut adalah berpunca daripada pihak pembekal yang membekalkan sesuatu produk atau barangan itu dengan harga yang mahal,  jadi peniaga sedikit sebanyak terkesan , oleh itu mereka terpaksa menaikkan harga barang bagi menampung kos mereka,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, penganalisis ekonomi berpendapat, tindakan segelintir peniaga menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya merupakan antara faktor menyebabkan rakyat terbeban dengan masalah tersebut.

Pakar ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Amir Baharuddin berkata, peniaga tidak sepatutnya ambil kesempatan di atas masalah yang berlaku selain dituntut mematuhi segala arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Bila naik sahaja tol semuanya akan ambil kesempatan.  Ini adalah soal mengambil kesempatan bukan ekonomi. Kalau harga gula naik sekilo 35 sen, apa rasionalnya kopi naik sampai 20 sen?," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berharap menteri bertanggungjawab melakukan pemantauan lebih kerap membabitkan pihak pembekal supaya harga barangan tidak dinaikkan sesuka hati.

“KPDNKK jangan asyik salahkan peniaga sahaja, sentiasa beri amaran kepada peniaga.

“… tetapi lihatlah kepada punca utama pada masalah ini, masalahnya adalah daripada pihak pembekal.

"Jadi saya sarankan pihak KPDNKK supaya pantau pembekal serta ambil tindakan tegas terhadap mereka sekiranya mereka menaikkan harga barangan yang mereka bekalkan kepada peniaga secara semberono,” katanya.

No comments:

Post a Comment